KKM rampas produk habatus sauda tidak berdaftar



Shah Alam: Jual produk semburan habatus sauda tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan dakwaan kononnya mampu menyembuhkan penyakit Covid-19.

Produk diseludup dari Turki itu dikesan berlegar di pasaran dan laris dalam kalangan mereka yang menolak penggunaan vaksin.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (CPF JKNS) yang bertindak melakukan serbuan ke atas sebuah premis perniagaan di Kajang, Selangor.

Pengarah Kesihatan negeri Selangor Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman berkata, produk habatus sauda tidak berdaftar dengan KKM itu dikesan dijual secara atas talian.

Menurutnya, pihak CPF menerima aduan dari orang ramai sebelum melakukan risikan sebelum serbuan dilakukan, kelmarin.

"Dalam serbuan itu, sejumlah 984 kotak produk dalam bentuk semburan disyaki mengandungi habbatus sauda yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM dirampas.

"Semua produk itu dianggarkan bernilai RM32,500. Siasatan awal mendapati produk habbatus sauda itu dipercayai diseludup masuk dari luar negara tanpa melalui pintu masuk negara yang sah.

"Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Peraturan 7 (1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Dadah 1952," katanya.

Sehubungan itu, JKNS menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dibuat dengan melayari www.npra.moh.gov .my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

"Sebarang aduan berkaitan produk-produk boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov .my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab. gov.my.

"Orang ramai juga boleh merujuk mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan serta menghubungi talian 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran," katanya.



- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!