'Saya sudah maafkan anak'



Kuala Selangor: "Walaupun masih terkejut dengan tragedi hitam itu, saya sudah maafkan anak. Apa-apa pun, dia tetap darah daging saya dan harap benar-benar insaf."

Begitu kata suami kepada wanita yang maut selepas kepalanya dipercayai dipenggal oleh anaknya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa berusia 56 tahun ditemui di ruang tamu dan terdapat kesan darah dalam rumah berkenaan.

Manakala suspek berusia 28 tahun yang juga seorang penganggur ditahan polis dengan bantuan penduduk kampung selepas bersembunyi dalam belukar berhampiran dengan rumahnya.

Menurut lelaki berusia 61 tahun yang enggan dikenali itu, ketika kejadian dia sedang menjual udang di Kampung Bukit Belimbing sebelum didatangi penduduk yang memaklumkan tragedi menimpa isterinya.

"Saya segera pulang dan terkedu melihat rumah yang dipenuhi penduduk.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh memasukinya," katanya ketika ditemui di Surau An Nur, Kampung Baru Pasir Penambang, hari ini.

Tinjauan mendapati jenazah mangsa dipercayai masih berada di Hospital Sungai Buloh (HSB) dan dijangka disembahyangkan di surau itu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang.

Malah, kelihatan ahli keluarga dan sanak saudara mangsa berada di persekitaran surau berkenaan bagi menunggu ketibaan jenazah.

Mengulas lanjut katanya, dia menyifatkan arwah rajin melaksanakan ibadah kepada Allah SWT selain peramah dan mesra kepada jiran berdekatan.

Lelaki itu berkata, empat bulan sebelum tragedi, arwah isterinya menitipkan pesanan supaya segera menguruskan pengkebumiannya sekiranya dia meninggal dunia.

Sehubungan itu, dia sekeluarga meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan lagi gambar arwah yang disifatkan mengaibkan.

"Saya redha dengan ujian Allah SWT tetapi dalam masa sama sedih kerana gambar itu masih berlegar di laman sosial.

"Sudah-sudahlah buat begitu. Arwah ini baik orangnya dan dia pun telah pergi menghadap Ilahi," katanya.

Suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!