Kantoi tak reti mengucap



Seremban: Berperwatakan seperti wanita Islam lengkap bertudung. Namun sebaik diminta melafazkan kalimah dua syahadah, wanita ini hanya menggelengkan kepala selain gagal menjawab sama ada dia penganut agama Islam atau sebaliknya.

Tindakan wanita warga Kemboja terbabit sekali gus meragukan kerana dia disyaki cuba menyamar sebagai orang Islam untuk meraih simpati orang ramai dengan meminta sedekah di bandar raya ini

Wanita warga asing itu sebelum ini tular di media sosial apabila seorang lelaki memuat naik hantaran di akaun Facebook mendakwa warga Kemboja bersama kanak-kanak berusia dua tahun itu mampu meraihkan pendapatan sehingga mencecah RM2,300 sehari.

Wanita itu dipercayai sanggup datang jauh dari Sungai Buloh, Selangor ke daerah ini dengan menaiki perkhidmatan e-hailing semata-mata untuk menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Malah berdasarkan hantaran itu, wanita terbabit turut mempunyai buku catatan dipercayai digunakan untuk merekodkan jumlah wang kutipan sedekah dikumpulkan secara harian.

Boleh dilihat dengan jelas pada buku terbabit menunjukkan tarikh dan jumlah kutipan pada hari tertentu sehingga mencecah RM2,300 sehari.

Difahamkan, selain berpakaian seperti wanita Islam, wanita terbabit turut membawa seorang kanak-kanak bagi menambahkan lagi rasa simpati orang awam.

Dalam hantaran itu juga, lelaki terbabit menyatakan warga Seremban dan rakyat Malaysia sememangnya pemurah berikutan pendapatan harian peminta sedekah mengalahkan gaji pegawai kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, pengemis wanita itu berjaya dikesan ketika tinjauan dilakukan Unit Penguatkuasa Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban.

"Wanita itu ditemui di tapak Pasar Malam Ampangan di sini, jam 6 petang Selasa lalu. PKMD mendapati dua wanita warga asing berusia 35 dan 40 tahun sedang mengemis bersama anak masing-masing berusia dua tahun. Kami melakukan pemeriksaan dan mendapati mereka adalah warga Kemboja berdasarkan kad vaksinasi dibawa. Bagaimanapun, kedua-duanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati wanita itu tinggal di Sungai Buloh, Selangor dan datang ke Seremban dengan menggunakan kenderaan e-hailing untuk meminta sedekah.

"Kami tidak dapat membuktikan sama ada wanita terbabit beragama Islam atau sebaliknya kerana tiada bukti atau dokumen. Malah, masalah komunikasi antara wanita itu dengan pegawai bertugas membataskan kami untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Mengulas lanjut, kedua-dua pengemis itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana mereka adalah warga asing dan ia di luar bidang kuasa JKM.

"Tindakan advokasi dan penguatkuasaan sering dijalankan di kawasan yang menjadi tumpuan secara berkala. Jika kami menahan peminta sedekah warga tempatan, kami akan menempatkan mereka di rumah perlindungan.

"Jika peminta sedekah berkenaan adalah warga emas dan tiada tempat tinggal, kami akan menempatkan mereka di pusat jagaan atau rumah orang tua di bawah JKM," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!