Harimau masuk kampung sebab sakit, bukan pembalakan



KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan berpendapat bahawa tiada keperluan untuk memindahkan masyarakat Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang ke pusat penempatan sementara meskipun mereka kini diancam gangguan harimau sejak sebulan lalu.


Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau tidak menafikan masyarakat di kawasan itu hidup dalam ketakutan, namun arahan telah dikeluarkan agar mereka tidak keluar rumah ketika ini.


Menurut beliau, kerajaan negeri percaya usaha yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan ketika ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di perkampungan Orang Asli terbabit.


“Kita tahu penempatan asal Orang Asli terletak di dalam hutan. Mengikut pengalaman sebelum ini, mereka enggan keluar dan mahu kekal tinggal di kampung sekiranya diminta berpindah.


“Orang Asli di kawasan terlibat tetap memberi kerjasama dan mendengar nasihat pihak berkuasa yang mengarahkan mereka tidak keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.


Beliau menegaskan, harimau yang memasuki kampung itu bukan disebabkan oleh pembalakan, malah ada laporan yang mengatakan haiwan buas itu dijangkiti penyakit dan mencari makanan di kawasan Orang Asli.


“Setakat ini, tiada lagi laporan mengatakan harimau keluar ke kawasan perkampungan Orang Asli.


“Justeru, harimau yang memasuki kampung itu bukan disebabkan pembalakan, sebaliknya haiwan buas berkenaan didakwa sakit sehingga keluar mencari makanan di kawasan Orang Asli,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar mengakui ada pembalakan haram dan penerokaan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan, namun kegiatan itu tidak serius seperti negeri lain.



-K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!