Suami sewakan rumah baharu, petanda pergi selama-lamanya



Sekinchan: "Bulan lalu, arwah suami memberitahu ingin menyewa sebuah rumah di kampung untuk tujuan memudahkan pergerakan saya dan anak.


"Dia juga sudah membayar wang pendahuluan RM300 untuk rumah itu. Tak sangka ia petanda dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya," kata Hamisah Saluki.


Hamisah, 30, adalah isteri kepada Mohamad Amir Sulaiman, 28, yang meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika memancing di sebuah kolam di Klang, kelmarin.


Difahamkan, Mohamad Amir bekerja sebagai mekanik lori di Pelabuhan Utara, Klang sejak lapan tahun lalu.


Hamisah berkata, suaminya beriya-iya untuk mencari rumah sewa kerana anak sulung mereka, Muhammad Rayyan Iman, 6, akan memasuki Darjah Satu tahun depan.


"Arwah suami berasal dari Kampung Desa Nelayan, Pasir Panjang. Dia tahu kemudahan di situ sangat mudah termasuk sekolah rendah dan sekolah menengah yang berhampiran dengan rumah.


"Kalau diikutkan, kami menunggu giliran untuk masuk rumah sewa tetapi ia masih dalam proses ubah suai.


"Arwah seorang yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga. Bagaimanapun, Allah lebih sayang kepadanya dan kami reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga arwah, di sini, hari ini.


Sementara itu, adik Allahyarham, Solehudin, 21, berkata, ketika kejadian dia di pekan Sekinchan kerana membeli barang keperluan.


Menurutnya, dia dimaklumkan berkaitan kejadian oleh kawan Allahyarham yang menghubunginya menerusi panggilan telefon.


"Mula-mula, kawan cakap abang pengsan. Saya bergegas ke tempat kejadian dan ketika dalam perjalanan, saya dapat panggilan sekali lagi memaklumkan abang telah meninggal dunia.


"Arwah memang ada sakit jantung berlubang sejak kecil dan seluruh ahli keluarga tahu akan perkara itu," katanya.


Mohamad Amir meninggalkan isteri, Hamisah dan tiga anak iaitu Muhammad Rayyan Iman, 6


Nur Ariana Alisha, 3 dan Muhammad Shahrul Idlan, setahun.


Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 9, Pasir Panjang, semalam.


-HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!