Mayat kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun ditemui



BENTONG -Mayat kanak-kanak lelaki dipercayai Emmanuel Chang Li Zheng berusia 6 tahun yang menjadi salah seorang mangsa dihanyutkan kepala air di Bobby Eco Farm berjaya ditemui.


Mayat mangsa ditemui terapung dan tersangkut dalam longgokan kayu di kawasan hutan di tepi Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 10.30 pagi.


Kejadian kepala air tersebut turut melibatkan pemilik inap desa dikenali sebagai Bobby Lim Yoke berusia dalam lingkungan 60-an dan isteri, Yap Koon Lau, 66.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Mohd. Zamri Abdul Ghani berkata, kanak-kanak lelaki berkenaan merupakan anak kepada pasangan Chang Chee Heng dan Joyce Ong Yong Sze.


“Operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan pada pukul 9.40 pagi dengan kekuatan seramai 26 pegawai serta anggota.


“Kita telah menemui mayat mangsa dalam longgokan kayu di Kilometer 66.2 bersebelahan Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.


“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti namun dipercayai mayat Emmanuel. Kita akan memanggil ibu bapa untuk proses pengecaman.


“Setakat ini, kita masih meneruskan operasi bagi mencari pemilik inap desa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.


Katanya, operasi terbabit turut dibantu beberapa balai dan agensi bagi mencari tiga mangsa yang dilaporkan hanyut dibawa arus deras.


“Balai yang terlibat ialah Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Bentong, Cameron Highlands, Nenasi dan Storm Pahang.


“Kita juga telah menggunakan khidmat anjing pengesan sebanyak dua ekor dan menerima bantuan dari Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


Terdahulu, mayat Yap Koon Lau telah ditemui pada pukul 10.15 pagi semalam di bawah timbunan kayu balak dan pasir kira-kira 200 meter dari lokasi inap desa tersebut.


-K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!