Lima kereta hanyut: Empat mangsa maut, dua hilang, 10 selamat



Bentong: Empat mangsa meninggal dunia, dua hilang dan 10 lagi selamat selepas lima kereta dihanyutkan arus deras di Jambatan Telemong, di sini, Sabtu lalu.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak menjalankan kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dihanyutkan arus sungai ketika terperangkap di Jambatan Telemong.


Katanya, sebanyak lima kenderaan terperangkap di jambatan sebelum dihanyutkan arus sungai yang melimpah.


Beliau berkata, mengikut keterangan Pegawai Penyelia BBP Karak, Che Zainurin Mansor, sebelum kejadian, BBP Karak keluar untuk menjalankan kerja pemindahan mangsa banjir yang terperangkap di resort kawasan Telemong.


"Ketika hampir ke kawasan jambatan, jentera dan anggota terperangkap disebabkan air naik mendadak pada jam 6.40 petang.


"Pasukan terus berada di situ sehingga Ahad dan pada jam 2 petang, pasukan yang masih lagi berada di kawasan berkenaan mendapat berita bahawa lima kenderaan yang terperangkap dihanyutkan arus sungai yang melimpah di Jambatan Telemong," katanya.


Beliau berkata, pasukan terus melakukan kerja menyelamat dengan dibantu pekerja kilang berhampiran.


"Sepuluh mangsa berjaya diselamatkan dan seorang wanita warga emas meninggal dunia," katanya.


Beliau berkata, pada hari ini kerja mencari dan menyelamat diteruskan di tempat kejadian dengan kaedah menyusur mengikut arus sungai.


"Pada jam 1.17 tengah hari mangsa pertama iaitu wanita ditemukan pasukan penyelamat pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.


"Mangsa kedua iaitu seorang wanita warga emas ditemukan pada jam 1.38 tengah hari dengan pada 1.1 kilometer dari lokasi kejadian dan mangsa ketiga iaitu seorang lelaki ditemukan pada jam 2.07 petang pada jarak 1.2 kilometer dari lokasi kejadian," katanya.


Menurutnya, gerakan mencari mangsa yang hilang masih lagi diteruskan membabitkan 32 anggota bomba. Beliau berkata, 10 mangsa yang terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!