'Dia janji bawa kami anak beranak keluar makan malam'



Kangar: "Suami janji bawa kami anak beranak keluar makan malam," kata Atiqah Abd Rahman, 31, isteri kepada Mohd Faizah Hisyam Mat Taib, 39.


Mohd Faizah Hisyam dan rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 45, dilaporkan hilang selepas terjatuh dalam sungai apabila bot dinaiki mereka bertembung satu lagi bot dalam kejadian di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis, di sini, semalam.


Menurut Atiqah, 30 minit sebelum kejadian dia menghubungi suaminya bertanyakan lokasinya.


"Sekitar jam 9.30 malam, saya hubungi suami, dia cakap dalam perjalanan ke Jeti Tok Kuning selepas selesai menunda sebuah lagi bot tanpa enjin ke pengkalan bot di sekitar muara Sungai Perlis.


"Dia janji bawa kami anak beranak keluar makan malam selepas selesai tugasnya," katanya ketika ditemui di Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis, hari ini.


Bercerita lanjut, Atiqah berkata, sekitar jam 10.05 malam dia sekali lagi menghubungi suaminya semula namun gagal.


"Saya mula bimbang kerana jarang dia tidak dapat dihubungi. Sekitar jam 1 pagi saya dimaklumkan suami hilang akibat kemalangan bot. Selepas dapat tahu, saya bergegas ke jeti untuk melihat apa yang berlaku," katanya.


Atiqah berkata, mulanya dia memohon keizinan suami itu mengikutinya menunda bot berkenaan bersama anak-anaknya.


"Namun, suami saya tidak benarkan kerana kawasan sungai ini agak berbahaya dan gelap pada waktu malam. Selalunya kami akan mengikutnya sekali," katanya.


Ibu kepada dua anak lelaki berusia 10 dan empat tahun itu berkata, dia berharap supaya suaminya ditemukan segera dalam keadaan selamat.


Dalam perkembangan berkaitan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan di sekitar muara Sungai Perlis berhampiran jeti berkenaan yang disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Rela dan nelayan tempatan.


Terdahulu Harian Metro melaporkan, dua lelaki dikhuatiri lemas apabila bot dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi bot dalam kejadian di Sungai Perlis berhampiran Jeti Tok Kuning, Kuala Perlis, di sini, semalam.


Mangsa dikenal pasti sebagai, Mohd Faizal Hisyam iaitu seorang nelayan manakala rakannya, pembaiki bot, Abdul Rashid Md Derus, terjatuh ke dalam sungai berkenaan selepas pertembungan itu.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!