About Me

Suspek baling batu dari jambatan ditahan



Jitra: Akibat marah dan geram terhadap kenderaan berat yang sering menghimpit motosikalnya menyebabkan seorang lelaki bertindak nekad membaling batu dari atas jambatan di Kilometer 31 Lebuhraya Utara Selatan di Bandar Darulaman, di sini.


Tindakan yang dilakukan lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan sejak 6 November lalu menyebabkan batu itu terkena kenderaan melalui jambatan itu sehingga cermin pecah.


Bagaimanapun, suspek akhirnya dicekup polis hari ini berdasarkan maklumat dan risikan dilakukan.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, suspek berusia 34 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan itu sekitar waktu petang.


Beliau berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu selepas mengesan satu hantaran video dan WhatsApp yang tular berkaitan kejadian kenderaan dibaling batu oleh individu tidak dikenali ketika melalui jambatan berkenaan.


"Dalam hantaran video itu yang dirakam melalui 'dashcam' kenderaan berkenaan, didapati beberapa ketul batu dipercayai dibaling dari jambatan berkenaan yang menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan berkenaan.


"Berikutan, satu laporan polis dibuat oleh mangsa. Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis menubuhkan satu pasukan Taskforce dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama dari Cawangan Pencegah Jenayah (CPJ) Balai Polis Jitra.


"Pada 1.45 petang hari ini, ketika operasi sedang dilakukan, seorang penunggang motosikal yang juga suspek menunggang motosikal Honda Wave S warna biru berada dalam keadaan mencurigakan sebelum memberhentikan motosikal di atas jambatan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Cheng Chunng Tsaur Dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kubang Pasu, Asisten Superintendan Mohd Shuhaimi Joohari.


Rodzi berkata, ketika pemerhatian, suspek mengambil sesuatu dari dalam raga motosikal ditunggangnya.


Beliau berkata, melihat tindakan suspek, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan anggota CPJ Balai Polis Jitra menghampirinya, sebelum pemeriksaan mendapati terdapat dua ketul batu di dalam raga motosikal berkenaan.


"Suspek mengaku terbabit dalam kejadian membaling batu dari atas jambatan lebuh raya seperti laporan polis yang dibuat sebelum ini.


"Siasatan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah dan kes dadah," katanya.


Rodzi berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.


Beliau berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.


"Kita turut merampas dua ketul batu dan motosikal yang digunakan suspek ketika kejadian untuk membantu siasatan.


"Kita menerima dua laporan polis berhubung kejadian ini, manakala Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memaklumkan mereka menerima tiga laporan berhubung kejadian itu," katanya.


Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis mengesan satu hantarkan video dan WhatsApp yang tular berkaitan kenderaan dibaling batu oleh individu yang tidak dikenali ketika melalui bawah Jambatan di Kilometer 32.6 Lebuhraya Utara Selatan Utara.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!