About Me

Kembali pada jantina asal

                      Gambar Hiasan 


Baru-baru in, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (MPWP) ada menerima soalan daripada orang awam berhubung kaedah pengurusan jenazah bagi individu transgender apabila seseorang itu meninggal dunia.


Soalan daripada orang awam ini diajukan kepada kami kerana situasi transgender berkenaan. Adakah urusan jenazah itu akan diuruskan secara jantina asal atau sebaliknya. Sebelum kami menghuraikan lanjut berhubung persoalan berkenaan, ringkasan jawapan kepada pertanyaan itu adalah individu berkenaan perlu diuruskan jenazahnya mengikut jantina asal dan perkara itu jelas disebut di dalam kitab muktabar dan pandangan ulama seluruh dunia.


Alhamdulillah, menerusi kesempatan ini, kami akan menjawab persoalan berkenaan bagi memberi penjelasan sekali gus memberi faham kepada masyarakat dalam persoalan agama. Segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT dan selawat kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, isteri dan keluarga Baginda, sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkahnya sehingga kiamat.


Berdasarkan pandangan di dalam Islam trangender adalah amalan songsang dan perlakuan yang bertentangan dengan jantina. Kategori ini boleh dirungkai dengan membawa maksud wanita seperti lelaki dan sebaliknya. Segala perbuatan yang melibatkan proses penukaran jantina asal kepada jantina berlawanan ini jelas bertentangan dengan hukum Islam.


Dalam syariat Islam, istilah ini paling dekat disebut dengan istilah al-mukhannath iaitu lelaki yang menyerupai sifat kewanitaan atau al-mutarajjil iaitu wanita yang menyerupai sifat kelakian. Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, Baginda melaknat lelaki yang bersifat kewanitaan dan wanita yang bersifat kelelakian. Riwayat al-Bukhari


Golongan transgender dilaknat oleh Nabi SAW sama ada lelaki yang menyerupai wanita atau sebaliknya. Dalam hal ini ia merujuk kepada lelaki yang menyerupai wanita daripada pelbagai sudut sehingga menonjolkan seseorang lelaki itu sebagai wanita dan bukan lagi lelaki. Imam al-Tabari berkata, hadis larangan itu menunjukkan tidak harus lelaki untuk menyerupai wanita daripada aspek pakaian dan perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan juga sebaliknya. Rujuk: Fath al-Mun'im Syarh Sohih Muslim, 8/520


Ahli bahasa berkata, al-mukhannath ialah golongan yang menyerupai wanita pada perlakuan, perkataan dan gerak-gerinya. Kadang-kadang ia berlaku secara semula jadi (bukan diada-adakan), tetapi kadang-kadang ia berlaku secara sengaja (diada-adakan). Rujuk: Syarh al-Nawawi 'ala Muslim, 14/163


Oleh itu, berdasarkan maksud di atas al-mukhannath terbahagi kepada dua, iaitu ciri yang lahir secara semula jadi dan diada-adakan. Sekiranya ciri wanita pada diri lelaki itu atau sebaliknya lahir secara semula jadi maka perbuatan itu tidaklah berdosa. Berdosa ialah sekiranya ciri itu diada-adakan secara sengaja. Rujuk: 'Umdah al-Qari, 8/403

Berdasarkan maksud transgender dan al-mukhannath yang disebutkan jelas bahawa seseorang individu kekal dengan jantina asalnya, cuma penampilannya yang menunjukkan jantina sebaliknya. Oleh yang demikian, seseorang lelaki kekal sebagai lelaki sekalipun dia berperwa- takan seperti wanita. Segala hukum-hakam yang terpakai ke atas dirinya juga mengikut jantina lelaki.


Perkara ini dinyatakan oleh Shaikh al-Syarwani iaitu sekiranya seorang lelaki berperwatakan seperti wanita atau sebaliknya, (jika ada lelaki yang menyentuhnya) tidak batal wuduk pada permasalahan yang pertama (lelaki yang berperwatakan wanita) dan batal wuduknya pada permasalahan yang kedua (wanita yang berperwatakan lelaki) kerana dipastikan bahawa tidak ada perubahan pada hakikatnya, tetapi yang berubah hanyalah penampilannya sahaja iaitu berubah daripada satu penampilan kepada bentuk penampilan yang lain. Rujuk: Hawasyi al-Syarwani, 1/137


Hasil daripada perbincangan, kenyataan dan nas jelas yang dibawakan, suka kami untuk membuat kesimpulan berhubung permasalahan ini iaitu pengurusan jenazah bagi individu transgender akan berbalik kepada jantina asal mereka.


Segala hukum-hakam yang berkaitan transgender adalah mengikut jantina asalnya. Hal yang demikian disebabkan hakikatnya tidak ada perubahan pada jantina asalnya iaitu daripada lelaki kepada wanita atau sebaliknya, tetapi yang berubah hanyalah penampilan luaran. Oleh yang demikian, segala permasalahan berkaitan aurat, pemakaian, pengurusan jenazah seseorang transgender adalah mengikut jantina asalnya.


Wallahualam.



Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!