About Me

Akibat langgar lampu isyarat



Kulim: Remaja lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) 4, di sini hari ini.


Dalam kemalangan kira-kira jam 2 petang itu, Mohammad Shaharuddin Shah Iran, 17, maut di lokasi kejadian manakala rakannya yang membonceng parah di kepala, dada dan patah kedua-dua kaki serta dikejarkan ke Hospital Kulim.


Kemalangan turut menyebabkan Toyota Fortuner dipandu seorang mekanik berusia 45 tahun terbakar.


Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati motosikal dinaiki dua rakan sebaya itu dari Kulim Utama menghala Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) untuk pulang ke Penaga, Pulau Pinang.


Bagaimanapun, katanya, penunggang motosikal didapati melanggar lampu isyarat yang ketika itu masih merah sebelum dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Hospital Kulim.


"Kita sudah melakukan pemeriksaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di pusat kawalan Hi-Tech dan mendapati motosikal berkenaan melanggar lampu isyarat.


"Siasatan mendapati mangsa yang meninggal dunia sudah tidak bersekolah manakala rakannya yang parah pula masih belajar dan ketika kejadian cuaca baik serta jalan tidak licin," katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, mayat dihantar ke hospital untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan bagi mengenalpasti punca kematian mangsa.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.03 minit petang memaklumkan kebakaran sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan.


Menurutnya, sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya memadam kebakaran serta mengawal keadaan.


"Sebaik tiba, didapati dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal tersepit di bawah pacuan empat roda dengan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.


"Mangsa yang parah dibawa ke hospital dan siasatan mendapati kebakaran memusnahkan hampir 30 peratus pacuan empat roda terbabit," katanya.


Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.08 petang dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!