About Me

Warung jual makanan guna air ‘haram’



PUTRAJAYA – Demi mengaut keuntungan mudah, segelintir pengusaha warung makanan sanggup mencuri air dengan me­lakukan penyambungan haram daripada paip-paip utama bagi menyediakan juadah untuk pe­langgan.


Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), V. Kirupakaran berkata, daripada jumlah kes yang dilaporkan setiap tahun, secara purata pihak­nya merekodkan antara 15 hingga 20 peratus kes membabitkan pengusaha warung makanan.


“Memang ada pemilik gerai makanan yang mendapatkan air menggunakan cara yang tidak sah dan apabila kita mendapat laporan, tindakan penguatkuasaan akan dibuat.


“Selain itu, kami juga akan meminta mereka (pengusaha warung makanan) untuk mendapatkan bekalan air menggunakan kaedah yang tidak bertentangan dengan undang-undang,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.


Mengulas lanjut, Kirupakaran berkata, kegiatan curi air merupakan salah satu penyumbang kepada peningkatan Air Tidak Terhasil (NRW) di negara ini.


“Secara purata kami menerima antara 80 hingga 100 kes curi air dalam setahun.


“Bagi tahun ini, secara amnya, kilang perindustrian dan tapak pembinaan merupakan pihak yang mencatatkan jumlah terbesar untuk kegiatan curi air bagi tujuan komersial,” ujarnya.


Tambahnya, penyambungan haram atau kegiatan curi air itu biasanya dilakukan dengan tujuan untuk mengurangkan kos operasi di premis perniagaan atau tapak projek pembinaan.


“Kebiasaannya, kegiatan curi air dilakukan di kawasan terpencil dan sukar dikesan atau penyambungan tidak sah tersebut dilakukan di bawah tanah,” jelasnya.


Tambah Kirupakaran, setakat Januari hingga September tahun ini, sebanyak 155 operasi penguatkuasaan terhadap kes curi air telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kira-kira satu juta meter padu air membabitkan nilai RM2.4 juta telah dicuri pihak tidak bertanggungjawab.


“Pada tahun ini sahaja, seba­nyak 65 kes curi air telah didakwa dan dijatuhkan hukuman di mahkamah,” katanya.


Pada masa sama, beliau me­ngakui terdapat sedikit peningkatan daripada segi jumlah kes tetapi secara puratanya adalah tidak signifikan.


Dalam pada itu, Kirupakaran berkata, pihaknya merancang untuk membuat pindaan ke atas Akta 655 bagi menaikkan jumlah denda kepada pihak yang mencuri air.


Katanya, ketika ini akta ber­kenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun.


“Kita percaya hukuman yang berat dan se­timpal akan membanteras kegiatan curi air daripada terus berleluasa,” tegasnya.


- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!