About Me

Setengah jam ajar anak mengucap dua kalimah syahadah



Kuala Terengganu: Meskipun tiga bulan berlalu, seorang ibu sukar melupakan detik mengajar anak perempuannya mengucap dua kalimah syahadah selama setengah jam menerusi panggilan video sebelum zuriatnya itu ditidurkan dan meninggal dunia kerana Covid-19.


Ramlah Sulong, 69, berkata, dia menerima perkhabaran duka itu daripada pihak Hospital Sungai Buloh, Selangor, apabila anaknya, Salwani Latif, 36, dirawat selepas dijangkiti Covid-19 pada 7 Julai lalu.


Katanya, dia dimaklumkan mengenai perkara itu pada 9.30 pagi dan selepas 30 minit mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, anaknya ditidurkan sebelum meninggal dunia pada 3 pagi keesokannya.


"Makcik rasa macam nak pengsan apabila anak sulung, Suriati, memeluk dan memberitahu Salwa sudah tiada.


"Walaupun berat dan sedih menerima berita pemergian anak secara tidak disangka-sangka, makcik reda kerana ia sudah ketentuan Allah dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya.


"Dia pergi dengan husnul khotimah dan sudah selamat di alam sana, kita yang masih hidup ini belum tahu bagaimana pengakhiran nanti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beladau Kepong, di sini, hari ini.



Ramlah mengakui ingatan terhadap arwah anaknya tidak pernah padam dan sepanjang mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah menerusi panggilan video, arwah sempat mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat bagus menyebabkan dia berasa lega dan mengharapkan anaknya pulih.


Menurutnya, arwah turut meminta supaya Suriati menjaga ibu mereka kerana dia sudah mahu pergi dan tidak menyangka kata-katanya itu menjadi kenyataan apabila dia terus 'tidur' buat selama-lamanya.


Wanita berstatus ibu tunggal sejak lebih 15 tahun lalu mengakui sukar melupakan arwah berikutan ketika hayatnya arwah sangat rapat dan mengambil berat terhadap dirinya.


"Dia belum berumahtangga dan menanggung makcik sepenuhnya. Walaupun tinggal jauh dan bekerja di Klang, Selangor, dia tidak lupa memenuhi tanggungjawabnya terhadap makcik.


"Menjadi rutin arwah untuk menelefon makcik samada tiga atau empat kali setiap hari iaitu pagi sebelum keluar bekerja, tengah hari, petang selepas pulang bekerja dan malam sebelum tidur.


"Setiap hari dia berbuat begitu, jadi apabila dia sudah tiada, semua itu hilang. Memang susah makcik nak lupakan semua kenangan itu.


Setiap hari selepas solat Subuh, makcik akan mencium motosikal arwah bagi melepaskan rindu. Dia berhajat membawa makcik menunaikan umrah selepas keadaan Covid-19 reda " katanya.


Ramlah berkata, arwah sering berpesan supaya dia kekal di rumah kerana bimbang dijangkiti virus bahaya itu.


Malah, katanya, arwah, malah mengirimkan kotak berisi pelbagai barangan penjagaan kesihatan seperti cecair pensanitasi tangan, pelitup muka dan sebagainya seminggu sebelum dimasukkan ke hospital.


"Arwah sangat berhati-hati dalam menjaga diri daripada terkena jangkitan Covid-19, tetapi dia dijangkiti daripada rakan sekerjanya sehingga membawa maut.


"Kali terakhir saya bertemu arwah pada Aidiladha tahun lalu dan arwah kerap memberitahu dia sangat merindui keluarga di kampung dan akan pulang sebaik sahaja rentas negeri dibenarkan.


"Saya bersyukur kerana jenazah arwah dikebumikan di kampung halaman, sekali gus membolehkan saya menziarahi kuburnya pada bila-bila masa," katanya yang tinggal bersama tiga cucu di rumah itu.


- HMetro 


LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!