About Me

Pemandu jengkaut rata hutan simpan ditahan



BERA: Seorang pemandu jengkaut yang sedang leka melakukan kerja-kerja pembersihan secara haram di kawasan Hutan Simpan Purun, Bera ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) pada Sabtu.


Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditahan ketika lima anggota Penguat Kuasa (UPK) Pahang Timur yang diketuai Pengawas Hutan, Mohd Azhar Mudzafar melakukan rondaan di kawasan hutan terbabit.


Beliau berkata, lelaki tersebut mendakwa telah ditugaskan untuk meratakan tanah di kawasan hutan berkenaan dan tidak mengetahui kerja itu satu kesalahan besar.


"Susulan itu, kita menahan lelaki terbabit. Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera atas kesalahan menceroboh dan membersihkan Hutan Simpan Purun.


"Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis. Kita turut menyita jentera terbabit dan kini ditempatkan di pusat simpanan barangan rampasan Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab di Temerloh," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Nor Azirim tidak menolak kemungkinan kegiatan membersihkan hutan dan meratakan tanah di kawasan hutan tersebut adalah untuk menanam kelapa sawit.


"Kalau kita lihat kawasan berhampiran Hutan Simpan Purun ini begitu terkenal dengan tanaman kelapa sawit.


"Atas sebab itu terdapat banyak percubaan daripada individu atau pihak tertentu meneroka tanah haram di hutan simpan bagi tujuan pertanian," jelasnya.


Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menerusi anggota UPK Pahang Timur akan terus melakukan rondaan secara berjadual di kawasan Hutan Simpan Purun.


"Rondaan turut dilakukan di Hutan Simpan Chini Tambahan dan Hutan Simpan Chini Bera yang sering berlaku kegiatan pencerobohan untuk aktiviti pertanian," kata beliau.

- Awani 

Berita asal di Sinar Harian

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!