About Me

Insiden tembakan korbankan 4 anggota TUDM masih dalam siasatan polis



Kuala Lumpur: Polis masih menyiasat insiden tembakan di pondok pengawal Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan yang mengorbankan empat anggotanya pada 13 Ogos lalu.


Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti jika wujud elemen jenayah dan punca sebenar insiden itu.


"Siasatan oleh pihak TUDM juga turut dibuat berkaitan aspek pentadbiran, prosedur operasi standard (SOP), isu kebajikan dan sebagainya.


"Pada 13 Ogos lalu, Panglima Tentera Udara (Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad) sendiri sudah bertemu ahli keluarga anggota TUDM yang meninggal dunia di Pangkalan Udara Kuching, Sarawak dan menyampaikan sumbangan awal kematian membabitkan belanja pengebumian, sumbangan kematian dari Tabung Kebajikan TUDM serta sumbangan derma tanggungan dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) berhubung pampasan diberikan kepada ahli keluarga mangsa terbabit dalam insiden itu dan tindakan yang diambil kerajaan bagi memastikan tahap kesihatan mental dalam kalangan anggota serta pegawai tentera dalam keadaan baik jika ia menjadi punca insiden berkenaan.


Selain itu, Ikmal Hisham berkata, pihak Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bahagian Perkhidmatan Anggota, Jabatan Arah Rekod dan Pencen sudah menyelesaikan memproses dokumentasi Pencen Terbitan, Ganjaran Terbitan dan Faedah Gantian Cuti Rehat membabitkan Orang Tanggungan keempat-empat anggota TUDM berkenaan, sebelum pembayaran dibuat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) pada hujung September lalu.


"Bagaimanapun, pembayaran Pencen Orang Tanggungan dan Ex-Gratia Orang Tanggungan adalah tertakluk kepada keputusan Lembaga Penentuan Sebab oleh Markas ATM, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan dan laporan akhir siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


"Pada masa sama, pihak Skuadron 330, Kota Samarahan juga sedang bekerjasama dengan pihak Koperasi Tentera dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengenai semakan kelayakan pembayaran kepada ahli keluarga membabitkan caruman dan simpanan yang dibuat semua anggota TUDM berkenaan sepanjang perkhidmatan mereka," katanya.


Ikmal Hisham berkata, TUDM turut menghantar pasukan kaunseling dan psikologi sejurus insiden itu bagi membantu menenangkan keadaan keluarga mangsa yang terbabit.


"Sehingga kini, pemantauan secara berkala dengan menjalankan sesi bimbingan dan nasihat dilaksanakan Pegawai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) di Pangkalan Udara Kuching," katanya.


Beliau berkata, TUDM mempunyai mekanisme dalam memantau tahap kesihatan mental anggota supaya berada dalam keadaan baik dan terkawal, antara lain dengan memberi perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada anggota serta keluarga mereka.


"Perkhidmatan ini adalah selari dengan keperluan ATM dan kementerian untuk memantau, mencegah, memberi nasihat dan kaunseling ke atas segala isu yang membabitkan masalah tekanan kesihatan mental, tempat kerja, keluarga, kewangan dan isu lain yang dibimbangi akan menjejaskan kesiapsiagaan pasukan," katanya.


Pada 13 Ogos lalu, media melaporkan empat mati dalam kejadian tembak pada jam 7.50 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330, Kem TUDM di Kota Samarahan, Sarawak.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dilaporkan berkata, difahamkan kejadian itu berlaku ketika masa serah tugas, yang mana seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!