About Me

Hukuman mati terhadap pembantu kedai bunuh bekas tunang kekal



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang bekas pembantu kedai tayar kerana membunuh bekas tunangnya yang akan berkahwin dengan lelaki lain.


Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan itu sebulat suara selepas menolak rayuan terakhir Muhammad Irshaduddin Khalis Nasurudin terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.


Mohd Zawawi berkata keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Muhammad Irshaduddin dengan kesalahan membunuh adalah selamat.


Turut bersidang Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.


Muhammad Irshaduddin, 28, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 7 Mei 2017 kerana membunuh Nursyafikah Ahmad Ismail, 22, di kawasan parkir motosikal di Pasaraya Econsave di Jalan Mersing, Kluang antara 5.40 dan 5.45 petang pada 10 April 2015.



Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuannya pada 22 Mac 2019.


Menurut fakta kes, ketika kejadian, Muhammad Irshaduddin telah mendekati mangsa yang sedang berehat di tempat kerja dan meminta Nursyafikah berjumpa dengannya.


Seorang saksi pendakwaan yang bekerja di pasar raya nampak Muhammad Irshaduddin berbual dengan mangsa berhampiran kawasan parkir motosikal dan satu pergaduhan berlaku antara kedua-duanya.


Muhammad Irshaduddin memegang kepala mangsa dan menghentakkannya ke atas motosikal sebelum menikam badan Nursyafikah.


Semasa membela diri, Muhammad Irshaduddin berkata dia tidak berniat untuk menikam mangsa sehingga mati sebaliknya hanya mahu mencederakan Nursyafikah selepas marah dengan kata-kata yang diucapkan wanita itu kepadanya.


Muhammad Irshaduddin diwakili oleh peguam Mohd Radzi Yatiman dan Mohd Razak Shariff manakala Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron hadir bagi pihak pendakwaan.


-- BERNAMA

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!