About Me

Covid-19 rentap jiwa 5 beradik



Putrajaya: Sedih bukan kepalang apabila lima beradik yang kecil kehilangan kedua ibu bapa akibat jangkitan kejam virus Covid-19.


Lima kanak-kanak yatim piatu itu adalah Hannan Humaira, tiga tahun, Muhammad Hawwas, enam tahun,


Muhammad Harraz, tujuh tahun, Husna Humaira, sembilan tahun dan Muhammad Hadhrami, 11.


Kisah sedih berkenaan dikongsi adik kepada ibu lima anak kecil itu, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, susulan pemergian arwah kakaknya, Ida Haryanie, 38, yang meninggal dunia pada Khamis lalu.


Sebelum itu abang iparnya, Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia dua bulan lebih awal selepas menerima rawatan Covid-19 di Hospital Putrajaya.


Menurut Mohd Ariff berkata, kakaknya bertarung nyawa melawan virus Covid-19 sejak 29 Julai lalu manakala abang iparnya dimasukkan ke hospital seminggu lebih awal dan meninggal dunia pada 11 Ogos lalu.


Katanya, detik sedih itu bermula pertengahan Julai lalu apabila keluarga kakaknya dijangkiti Covid-19.


"Namun lima anak arwah hanya menjalani kuarantin di rumah. Kehilangan dua ahli keluarga itu amat memilukan kami lebih-lebih lagi mengenangkan nasib lima beradik yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang ibu bapa.


"Arwah abang ipar dan kakak ditidurkan sebelum meninggal dunia kerana mengalami komplikasi covid-19.


"Lebih menyedihkan arwah kakak tidak tahu suaminya sudah meninggal dunia kerana ketika itu dia masih dalam proses ditidurkan.


"Seminggu sebelum arwah kakak meninggal dunia, dia sempat menghubungi kami melalui panggilan video.


"Ketika itu dia tidak boleh bercakap banyak dan hanya memberi isyarat bertanyakan suaminya, Namun kami semua merahsiakannya kerana tidak sanggup memberitahu perkara sebenar demi kesihatan kakak yang masih belum stabil," katanya tadi.


Mohd Ariff yang bertugas di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur, berkata, panggilan video itu adalah komunikasi kali terakhir sebelum kakaknya ditidurkan semula.


Katanya, kehilangan dua insan tersayang itu amat dirasai lebih-lebih lagi ibu bapanya, Abd Razak Basiron, 67, dan Intan Sulaiman, 63, tidak dapat bertemu mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.


"Arwah kakak dan abang ipar sangat prihatin dan mengambil berat terhadap ahli keluarga. Mereka sering membantu sekiranya ahli keluarga berhadapan kesusahan.


"Setakat ini ayah dan ibu yang tinggal di Bukit Tinggi, Klang, Selangor, berpindah di rumah arwah bagi menjaga lima cucunya itu. Kami adik beradik akan datang membantu pada hujung minggu," katanya.


Menurutnya, arwah adiknya, Ida Haryanie adalah seorang suri rumah manakala Mohd Nasir mengusahakan perniagaan sebagai kontraktor.


Jenazah pasangan ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi' Cyber 10, Cyberjaya.


Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyalurkannya ke nombor akaun CIMB Bank 7056194827 atas nama Mohd Ariff Hafizan.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!