About Me

Bomoh Ayah Su tidak mengaku rogol bakal pengantin



PASIR MAS – Seorang pengamal perubatan tradisional atau bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang wanita yang datang untuk membuat rawatan gangguan makhluk halus di rumahnya di Bunut Susu di sini kira-kira dua minggu lalu.


Tertuduh, Jusoh Jaafar, 67, atau lebih dikenali sebagai Ayah Su, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozaidi Yaacob.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang wanita berusia 23 tahun dengan menggunakan kedudukan sebagai pengamal perubatan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Perangkap, Bunut Susu di sini.


Perbuatan terkutuk itu dilakukan olehnya kira-kira pukul 3 petang pada 14 Oktober lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (f) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) kanan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Fatin Syahirah Abu Hasan.


Mahkamah menetapkan esok untuk menetapkan jumlah ikat jamin dan tarikh sebutan semula kes di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.


Akhbar Kosmo! pada 18 Oktober lalu melaporkan, hasrat seorang bakal pengantin perempuan untuk membuat rawatan gangguan makhluk halus berakhir mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa rogol seorang bomoh di sebuah rumah di sini baru-baru ini.


Mangsa dikatakan ingin mendapatkan rawatan daripada lelaki yang mengaku sebagai bomoh itu selepas sering mengalami mimpi yang menakutkan dipercayai akibat gangguan makhluk halus.


Semasa mangsa berada di dalam bilik itu secara berseorangan, suspek dipercayai telah merogol mangsa dengan alasan ia merupakan salah satu kaedah rawatan untuk menghalau daripada gangguan makhluk halus.


 – K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!