About Me

Abai bayi hingga patah tulang belakang, pengasuh dipenjara setahun, denda RM10,000



Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 ke atas seorang pengasuh yang mengabaikan bayi lelaki berusia 11 bulan sehingga menyebabkan mangsa patah tulang belakang dan lumpuh separuh badan.


Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu selepas Azlina Lizawati Ahmad Tarmizi, 37, menukar pengakuannya kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini.


Mahkamah yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai hari ini turut mengarahkan wanita itu dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda selain mengenakan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik tiga tahun dengan cagaran RM5,000 dan khidmat masyarakat selama 180 jam.


Azlina didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek, Wangsa Maju di sini, antara 7 dan 10 pagi 23 Julai 2020 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shahieza Md Hazaid memohon hukuman berat dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan serius yang dialami sehingga menyebabkan mangsa cacat seumur hidup.


"Tertuduh juga tidak amanah dan tidak bertanggungjawab selain pengasuh di rumah yang tidak berdaftar dengan JKM. Dia juga tidak mempunyai sebarang sijil atau kelayakan bagi pendidikan awal kanak-kanak.


"Peningkatan kes-kes penderaan, pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak oleh pengasuh di Malaysia jelas menunjukkan hukuman berat perlu diberikan sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat," katanya.


Peguam Raihanah Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, yang mewakili Azlina Lizawati memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mengaku bersalah di peringkat awal kes dan ini kesalahan pertama tertuduh.


"Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih kecil dan paling bongsu berusia lima bulan. Dia juga telah insaf kerana sebelum ini direman selama 14 hari ketika siasatan," katanya.


Berdasarkan fakta kes, mangsa dihantar ke rumah pengasuh pada 7 pagi dalam keadaan sihat namun pada 10 pagi, dia diambil oleh bapanya selepas tertuduh memaklumkan bahawa bayi itu tidak berhenti menangis.


Bapanya kemudian membawa bayi itu ke klinik kerana dia kelihatan teramat sakit dan klinik mengarahkan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan sinar-X.


Siasatan pihak hospital mendapati mangsa mengalami kecederaan patah tulang belakang serta urat saraf dan laporan perubatan menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan kekal dengan mangsa tidak boleh menggerakkan badannya.


Akibat kejadian itu, mangsa kini adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya berikutan kecacatan kekal yang dialami.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!