About Me

Seorang wanita tukang masak jadi penggali kubur mangsa Covid-19


Sungai Petani: Tugas sebenarnya adalah tukang masak di Murtadha Dakwah Centre (MADAD) yang menyediakan hidangan kepada sukarelawan mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 secara percuma.


Namun, terdapat keinginan pada jiwa Faridah Said, 63, menyertai Skuad Hang Cangkul selepas setiap hari melihat sukarelawan melakukan kerja amal menyebabkan dia nekad bersama mereka menguruskan jenazah pesakit Covid-19, mulai semalam.


Faridah yang mesra disapa Mak Lang mengakui begitu teruja setiap kali mendengar pengalaman diceritakan anggota skuad terbabit apabila bertemu ketika menghantar bekalan makanan.


Selain itu, dia ingin melihat sendiri kerja mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 hingga membuatkannya tertarik dan pernah memohon menjadi sebahagian sukarelawan Skuad Hang Cangkul.


Namun, ketika itu hasratnya untuk turut sama menyertai skuad itu ditolak berikutan faktor usia selain dibimbangi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.


Bagaimanapun, hasrat Faridah tercapai apabila diberikan peluang menyertai pasukan terbabit, semalam, dan dia mengakui puas kerana dapat melaksanakan impiannya selama ini.


Menurutnya, faktor usia bukan penghalang buat dia untuk menyertai Skuad Hang Cangkul yang melakukan kerja mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 di tanah perkuburan.


"Boleh dikatakan semua pasukan sukarelawan ini sebaya anak saya dan mereka pada awalnya memang tidak yakin dengan kemampuan saya untuk bersama disebabkan faktor usia.


"Namun, mungkin kerana melihatkan kesungguhan saya yang kerap meminta untuk merasai pengalaman melakukan kerja amal terbabit membuatkan mereka membenarkan saya turut serta mengurus dan mengebumikan jenazah," katanya.


Faridah berkata, dia berpuas hati kerana akhirnya dapat merasai pengalaman bersama Skuad Hang Cangkul mengurus dan mengebumikan dua jenazah wanita pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu, di sini, semalam.


"Saya sempat mencangkul tanah bersandarkan kudrat yang ada selain memegang tali digunakan untuk menurunkan keranda ke dalam liang lahad.


"Bagi saya, tugas itu sudah mencukupi kerana apa yang lebih penting dapat merasai pengalaman melakukan kerja pengebumian selain memberi rasa keinsafan buat diri kerana satu hari nanti saya juga akan tinggal di sini (kubur)," katanya.


Menurutnya, dia bersyukur kerana diterima dalam Skuad Hang Cangkul dan selepas ini akan terus mengikut mereka melakukan kerja mengurus serta mengebumikan jenazah pesakit Covid-19.


Sementara itu, Ketua Operasi Skuad Hang Cangkul, Muhammad Ridzuan Osman berkata, Faridah yang dianggap sebagai ibu kepada semua sukarelawan skuad itu, sebelum ini memang menyatakan hasrat bersama menyertai mereka mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit Covid-19.


"Melihat kesungguhan dan keinginan disuarakan hampir setiap hari, kami akhirnya bersepakat memberi peluang kepadanya untuk bersama melakukan kerja pengebumian jenazah.


"Walaupun warga emas, kudrat dimilikinya memang luar biasa dan dia mampu melakukan kerja sama seperti kami," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!