About Me

Seminggu hilang, rupanya kereta terbalik dalam parit



Kulim: Misteri kehilangan seorang wanita lebih seminggu lalu terjawab apabila ditemukan maut dalam keretanya yang terbalik di dalam parit besar berhadapan sebuah kuil di Ladang Maryland, Jalan Batu Puteh-Sungai Kob dekat sini, hari ini.


Mayat L Hemavathi, 43, yang juga operator sebuah kilang itu ditemukan pada 8.30 pagi di tempat duduk pemandu dipercayai terperangkap dalam keretanya di parit yang dikelilingi semak berhampiran kawasan ladang sawit.


Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati mangsa yang memandu Honda Jazz hitam keluar rumah pada Khamis minggu lalu kerana mahu ke kuil di Taman Sepilai dekat sini, untuk upacara keagamaan buat mendiang suaminya yang meninggal dunia kira-kira 13 tahun lalu.


"Mangsa tinggal di Kampung Banggol Penyengat, Karangan kemudiannya didapati tidak pulang ke rumah dan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.


"Bimbang dengan keselamatannya, adik lelaki mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan kakaknya itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sazalee berkata, siasatan lanjut polis bersama ahli keluarga mangsa menemui kereta wanita terbabit dalam parit besar dan polis terpaksa mendapatkan khidmat pasukan bomba untuk membuka pintu kenderaan.


"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa berkemungkinan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit yang agak terlindung dari jalan utama.


"Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan brek atas jalan," katanya.


Menurutnya, mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar namun beg udara keselamatan kenderaan terbabit berfungsi dengan baik.


"Mayatnya sudah berbau ketika ditemukan kerana mangsa dipercayai meninggal dunia lebih tujuh hari lalu dan kita agak sukar untuk melihat kecederaannya secara kasar berikutan keadaan fizikalnya yang sudah terjejas.


"Pemeriksaan lanjut mendapati barang kemas sepeti cincin, rantai, gelang masih ada dan pakaiannya juga lengkap seperti sejak awal dia keluar rumah," katanya.


Menurutnya, tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk proses bedah siasat.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!