About Me

‘Saya perlu kuat untuk adik-adik’


ALOR SETAR – Seorang remaja perempuan terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga kepada empat adiknya setelah kehilangan ibu akibat kanser dan jangkitan Covid-19.


Nurin Syazwani Abdul Aziz, 15, berkata, mereka tidak menyangka ibu, Taheran Md. Isa, 46, yang menghidap kanser payudara tahap empat sejak tahun lalu selain dijangkiti Covid-19 pergi buat selama-lamanya pada pukul 10 malam, Rabu lalu.


“Pada awalnya ibu ke wad biasa di Hospital Lama Alor Setar sejak bulan lalu kerana perlu menjalani rawatan kanser tetapi disahkan dijangkiti Covid-19 ketika rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Dia berkata, setelah dua minggu melawan jangkitan berkenaan serta komplikasi kanser, ibunya disahkan meninggal dunia.


“Saya dan adik-adik iaitu Nur Atikah Najwa, 14; Ahmad Saif, 12; Nur Aina Liyana, 10, dan Ahmad Said, 7, sangat sedih mendengar berita itu tambahan kami tidak sempat berbual dan menatap wajah ibu buat kali terakhir sejak dijangkiti Covid-19,” luahnya.


Menurutnya, sebelum ini ibu turut menjaga nenek, Hatijah Hussein, 81, di rumah, manakala bapa sudah mempunyai keluarga lain sejak berpisah dengan ibu.


“Saya perlu kuat dan akan pastikan adik-adik saya dijaga de­ngan baik sebagai amanah ter­akhir ibu,” ujarnya.


Katanya, mereka yang me­netap di sebuah rumah sewa di Flat Seri Setia, Jalan Langgar di sini menerima wang bulanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM600 untuk menampung sewa rumah serta perbelanjaan lain.


“Buat masa ini, kami masih tinggal di rumah ini memandangkan baru sahaja selesai kuarantin dengan jagaan dan pengawasan saudara ibu yang lain,” katanya.


Jenazah Allahyarham Taherah selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihak zakat menerima perkhabaran berkenaan dan akan menanggung beberapa kos keperluan mereka.


“Kos pengurusan jenazah ibu mereka telah diurus LZNK, agihan wang bulanan juga akan diteruskan. Seterusnya anak ketiga yang akan memasuki tingkatan satu tahun hadapan akan ditempatkan di Sekolah Zakat.


“Bantuan katil khas kepada nenek mereka yang uzur juga akan diusahakan,” katanya.


Tambahnya, LZNK akan terus membantu keluarga itu dan berterima kasih kepada pembayar zakat kerana hasil itu telah memudahkan golongan memerlukan.


-K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!