About Me

Pemandu Perodua Myvi masih hilang, penumpang ditemukan lemas


Kota Kinabalu: Penumpang Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, semalam ditemukan lemas selepas pasukan penyelamat menemui kenderaan itu dalam sungai Kampung Dambai, Inanam, di sini, hari ini.

Kereta Perodua Myvi itu ditemui pada 7.20 pagi, namun kenderaan terbabit bersama mangsa hanya berjaya dibawa keluar sekitar 11.05 pagi menggunakan jengkaut.

Mangsa lelaki berusia 37 tahun itu berasal dari Kampung Kionsom Lama, manakala pemandu kenderaan terbabit berusia 68 tahun masih belum ditemui.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Kenneth Willfred berkata, kereta terbabit ditemui penduduk kampung yang turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam anggaran dua hingga tiga kilometer daripada lokasi kenderaan itu dilaporkan hanyut.

"Kita mengalami sedikit kesukaran ekoran kedudukan kereta yang berada di dasar sungai selain kenderaan dipercayai dipenuhi pasir.

"Bagaimanapun, kita mendapat bantuan dua jengkaut daripada tapak pembinaan berhampiran untuk menarik keluar Perodua Myvi berkenaan.

"Sejurus kereta berjaya dibawa naik, kita hanya menemui salah seorang mangsa dipercayai penumpang kenderaan berkenaan, manakala pemandunya masih hilang," katanya ketika dihubungi, di sini.

Kenneth berkata, pihaknya mengarahkan tiga kumpulan melaksanakan SAR untuk mencari mangsa yang masih hilang.

Menurutnya, lokasi pencarian bertumpu sekitar kawasan Kampung Dambai sehingga lokasi kejadian, di dasar sungai kawasan Inanam Laut sehingga ke Kampung Dambai selain kawasan sekitar Yayasan Sabah sehingga Sungai Inanam Laut dengan menggunakan bot.

Terdahulu, kereta Perodua Myvi terbabit dihanyutkan arus deras ketika melalui jambatan konkrit di Jalan Kionsom Lama, Inanam petang semalam.

Dalam kejadian 6 petang, difahamkan terdapat dua mangsa berada dalam kenderaan yang dikatakan cuba melepasi jambatan itu, namun gagal selepas dihanyutkan arus deras.

Detik cemas itu sempat dirakam oleh pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sebelum ditularkan di media sosial.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!