About Me

Harga ayam dijangka naik lagi esok


Kuala Terengganu: Harga ayam dijangka akan naik secara berterusan sekali gus memberi tekanan kepada peniaga dan pengguna di negeri ini.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Bukit Besar dan Pasar Chabang Tiga, di sini, mendapati ayam dijual pada harga RM9.50 hingga RM10 sekilogram berbanding RM7.50 sekilogram pada awal Ogos lalu.

Peniaga ayam, Mohd Anuar Mohd Rashid, 36, berkata dia dimaklumkan oleh pembekal bahawa harga ayam akan terus naik dan terbaru dijangka pada esok.

"Sekarang kami peniaga ayam di Pasar Bukit Besar menjual ayam pada harga RM9.50 sekilogram.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh pembekal, harga ayam akan meningkat 30 sen lagi bermula esok. Oleh itu, harga ayam esok ialah RM9.80 sekilogram," katanya.

Katanya, dia menyedari terdapat peniaga di pasar lain menjual ayam pada harga RM10 sekilogram.

"Bukan sahaja pengguna, kami juga tertekan dan terhimpit apabila harga ayam semakin meningkat seperti sekarang.

"Jika pengguna faham dan memahami situasi peniaga tiada masalah dan terpulang kepada mereka sama ada ingin membeli atau sebaliknya.

"Tetapi ada segelintir pengguna yang tidak faham, mereka akan menyalahkan peniaga dan lebih teruk ada yang tergamak memaki-hamun kami," katanya.

Menurutnya, dia berniaga ayam segar sejak 16 tahun lalu dan memang terbiasa dengan fenomena turun naik harga ayam.

"Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini graf kenaikan harga ayam memang tidak masuk akal. Bayangkan dalam tempoh seminggu, kenaikan harga ayam berlaku sebanyak empat kali.

"Walaupun kenaikan harga itu hanya 20 sen hingga 30 sen sahaja, namun ia tetap menjejaskan perniagaan kami," katanya.

Rakannya, Hazriwana Mohd, 39, berkata jualan ayamnya merosot 50 peratus sejak kenaikan harga ayam di pasaran.

"Harga naik atau ayam tidak laku pun, kami tetap perlu berniaga. Sekarang nak dapat 80 kilogram sehari pun sukar berbanding sebelum ini mencecah jualan 100 kilogram ke atas sehari.

"Jika hanya harapkan jualan runcit sahaja, sudah ramai peniaga ayam yang gulung tikar kerana jualan yang berkurangan.

"Walaupun harga ayam meningkat, ia bukan memberi keuntungan kepada peniaga sebaliknya kami terpaksa berkorban menurunkan harga jualan supaya ayam boleh terjual," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri Ali, 52, berkata dia yang berniaga di Pasar Chabang Tiga, di sini, menjual ayam mengikut harga semasa.

"Harga ayam di Pasar Chabang Tiga sekarang ialah RM9.50 hingga RM10 sekilogram dan ia memang tinggi berbanding sebelum ini.

"Bila harga tinggi, kami nak berniaga pun tidak seronok, tetapi sekarang trend harga ayam semakin meningkat," katanya.

Katanya, dia dan semua peniaga berharap harga ayam kembali kepada harga normal seperti sebelum ini.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!