About Me

Geram tapi tiada guna berdendam


Sungai Petani: "Saya minta maaf kepada semua dan maafkan ejen berkenaan," kata Siti Rohani Ismail, 22, yang kisahnya tular kerana ditinggalkan ejen pekerjaan di sebuah klinik di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, minggu lalu selepas disahkan positif Covid-19 sejurus menjalani ujian calitan.

Menurutnya, dia tidak tahu dijangkiti Covid-19 selain enggan menyimpan dendam kepada ejen yang tergamak meninggalkannya seorang diri ketika itu.

"Kalau ikutkan geram, siapapun yang ada di tempat saya akan marah kepada ejen berkenaan namun saya rasa memaafkan seseorang itu lebih mulia daripada terus menyimpan dendam kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan.

"Saya juga meminta maaf kepada penumpang bas kilang serta individu yang sudi membantu menghubungi ambulans dan memberi air walaupun tahu saya positif Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menceritakan kembali kejadian itu, Siti Rohani berkata, dia yang lengkap menerima dua dos vaksin teruja apabila diterima bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Prai sebelum dijemput seorang wanita yang juga ejen pekerjaan.

"Ejen menjemput saya dan sepupu di rumah dengan kereta jam 7.30 pagi Rabu minggu lalu untuk dibawa ke kilang dan selepas mengisi borang kami dibawa pula ke klinik untuk ujian calitan.

"Ketika itu, kami dibawa menaiki bas kilang dan ejen terbabit juga turut ada bersama namun keputusan ujian calitan mendapati hanya saya seorang positif Covid-19," katanya yang masih menjalani kuarantin di rumah di Taman Kelisa Ria.

Menurutnya, kerana bimbang dengan keselamatan pekerja lain, ejen terbabit meninggalkannya dan meminta dia menaiki bas untuk pulang atau ke hospital.

"Saya tergamam seketika kerana hanya mempunyai wang RM4 ketika itu selain tidak mengetahui selok belok jalan di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, saya terus berjalan tanpa arah bermula jam 11 pagi dan tiba di sebuah kedai makan kira-kira jam 2 petang untuk membeli air kerana terlalu dahaga," katanya yang juga hampir pitam ketika itu kerana mempunyai tekanan darah rendah.

Menurutnya, dia terpaksa berhenti beberapa kali kerana terlalu penat dan sebaik tiba di kedai makan terbabit dia memesan air dan turut mengaku yang dirinya posiitif Covid-19.

"Saya perlu jujur kerana bimbang orang lain juga turut dijangkiti dan syukur anak pemilik kedai terbabit terus menghubungi hospital yang kemudian menghantar ambulans membawa saya pulang.

"Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan sehingga kini tidak putus menghulurkan sumbangan kepada kami sekeluarga," katanya.

Siti Rohani berkata, dia memang dilahirkan dalam keluarga susah dan sebagai anak sulung daripada empat beradik terpaksa menggalas tanggungjawab untuk mencari pendapatan kerana bapanya hanya bekerja sebagai pengutip botol.

"Bapa tidak mampu melakukan kerja berat kerana kaki kanan dimasukkan besi akibat kemalangan ketika menunggang motosikal kira-kira tujuh tahun lalu.

"Keadaan bapa membuatkan saya berhenti sekolah dan bekerja di sebuah kedai makan sejak berusia 15 tahun kerana mahu mencari pendapatan untuk menampung hidup kami sekeluarga," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!