About Me

Dugaan bayi usus di luar badan


Kota Tinggi: Penantian suami isteri selama enam tahun untuk menimang cahaya mata pertama akhirnya dimakbulkan, tetapi dalam masa sama juga mereka diuji apabila anak yang kini berusia lima bulan lahir dengan keadaan usus di luar badan.

Malah, Nur Qaira Qalisha Mohd Suhaimi turut bergantung dengan mesin oksigen untuk pernafasan kerana mempunyai masalah saluran pernafasan sempit sehingga terpaksa menggunakan saluran tiub bagi memudahkannya untuk menyusu.

Bapa bayi berkenaan, Mohd Suhaimi Jasmin, 25, berkata kehadiran cahaya mata sulung itu adalah pelengkap kehidupan buat dia dan isteri, Asfanizan Othman, 33, selepas penantian selama enam tahun.

Namun katanya, dia menerima keadaan anaknya itu dengan hati yang terbuka dan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan anugerah Allah itu dalam keadaan terbaik.

"Cuma saya tidak mampu untuk membeli mesin oksigen yang mencecah kos ribuan ringgit disebabkan itu saya terpaksa menyewa dan perlu membayar secara bulanan.

"Kos untuk menyewa mesin termasuk tong oksigen berjumlah RM700 bagi tempoh dua bulan, namun ia tidak meliputi kos lain seperti susu, lampin pakai buang dan ubatan.

"Tambahan pula, keadaan usus tidak seperti sepatutnya membuatkan saya dan isteri perlu berhati-hati ketika menguruskannya terutama apabila dia meragam," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili di sini.

Mohd Suhaimi yang bekerja kampung tidak mempunyai pendapatan tetap mengakui faktor kewangan menjadi kebimbangan utama baginya dalam menyediakan rawatan dan keperluan Nur Qaira.

"Sejak dilahirkan, Nur Qaira dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, sehingga usianya empat bulan dan kini dibenarkan pulang namun memerlukan penjagaan yang rapi.

"Nur Qaira masih perlu menjalani rawatan bulanan, namun buat sementara ini, saya terpaksa menyewa ambulans untuk membawanya ke Johor Bahru. Saya bimbang keadaannya yang bergantung pada mesin oksigen jadi tidak mahu mengambil risiko menggunakan kereta," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh hubungi Asfanizan di talian 011-2771 4319.

Sementara itu, Pegawai Pentadbiran Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Nasir Ishak berkata, pihaknya maklum dengan keadaan bayi berkenaan dan akan menyalurkan bantuan sewajarnya dalam tempoh terdekat.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!