About Me

Cubaan sorok suami dalam almari, elak dicekup Imigresen


Klang: Cubaan wanita warga asing berbohong kononnya suaminya bekerja di luar Selangor gagal apabila penguat kuasa Imigresen menemui lelaki terbabit bersembunyi di dalam almari.


Itu antara gelagat pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mengelak ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang mensasarkan kediaman di sekitar Klang bermula jam 11 malam hingga 5 pagi tadi.


Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, semasa serbuan dan pemeriksaan dokumen dilakukan, terdapat seorang lelaki Indonesia bersembunyi di dalam almari bagi mengelak ditahan.


"Sebelum itu, isterinya yang juga warga Indonesia bersama seorang anak cuba membantu lelaki itu dengan memberi helah bahawa dia berada di Johor sebab bekerja.


"Bagaimanapun, anggota operasi berjaya mengesan dan menahan lelaki serta pasangan yang tidak memiliki permit yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Mohamad Shukri berkata, secara keseluruhannya seramai 22 daripada 26 warga asing yang diperiksa ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.


"Semasa pemeriksaan, mereka dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama iaitu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.


"Pati yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki Indonesia, lima wanita Indonesia, dua kanak-kanak lelaki Indonesia serta empat lelaki Pakistan yang berumur antara 2 hingga 47 tahun.


"Kesemua yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Imigresen Negeri Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih," katanya.


Semua yang ditahan dibawa ke Klinik Kesihatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di depot tahanan.


Beliau berkata, Imigresen Selangor akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik rumah sewa atau pihak yang melindungi Pati berkenaan.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!