About Me

Ancam mahu letup rumah ketika ditahan polis


Semenyih: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak mengamuk dan mengugut mahu memotong saluran tong gas petroleum cecair (LPG) ketika polis mahu menahannya di sebuah premis di Jalan Semenyih Sentral 1, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya pergi ke lokasi berkenaan 4.05 petang tadi bagi mengesan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai terbabit dengan satu kes ugutan jenayah pada 28 Ogos lalu.

"Dalam kejadian itu, kami menerima laporan yang memaklumkan seorang lelaki tidak dikenali memegang parang dan cuba masuk ke dalam tempat pengadu bekerja di sebuah syarikat penghantaran barang.

"Suspek berkenaan mengugut akan mencederakan sesiapa yang mahu melawannya. Pengadu kemudian menghubungi pihak polis ketika itu, namun apabila kami tiba, suspek sudah melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, semasa pihaknya tiba hari ini untuk menahan suspek yang disyaki tidak siuman di alamat itu, lelaki berkenaan mengamuk dengan membaling dan memecahkan barang di dalam rumah.

"Malah, suspek juga cuba memotong salur getah tong gas yang diletakkannya di hadapan pintu rumah.

"Suspek juga mengunci pintu jeriji rumah berkenaan kerana tidak mahu memberi kerjasama dengan polis selain memecahkan cermin kaca dalam rumahnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih yang tiba 4.45 petang bagi membantu memberkas suspek.

"Tindakan itu diambil selepas lelaki itu gagal dipujuk dengan cara baik. Dengan bantuan pihak bomba, kami dapat memasuki rumah suspek dan berjaya menahannya.

"Semakan dilakukan mendapati suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua rekod jenayah dan lima rekod penyalahgunaan dadah.

"Semakan dilakukan juga mendapati suspek itu terbabit dalam dua lagi kes lain yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2 September lalu dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada 29 Ogos lalu," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Semenyih Mohammad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 4.47 petang.

"Seramai sembilan pegawai dan anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat seorang lelaki dipercayai kurang siuman mengamuk di premis berkenaan dan mengancam mahu membunuh diri serta isterinya dengan meletupkan gas LPG," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Darul berkata, pihaknya memasang tangga di tingkat satu rumah kedai berkenaan dan membuka pintu jeriji menggunakan pemotong.

"Lelaki itu berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!