About Me

Tanam 2,000 pokok hutan di bekas kebun Musang King haram


Raub: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam 2,000 pokok hutan dan buah pelbagai spesies di kawasan seluas lebih 8 hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini, yang dahulunya diceroboh untuk dijadikan kebun Musang King secara haram.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, antara pokok itu ialah Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Beruas dan Sentul yang ditanam dengan bantuan 130 sukarelawan daripada 23 badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, program itu adalah sebahagian daripada Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @ Pahang, yang bertujuan menghijaukan semula kawasan terosot di negeri ini.

"Untuk hari ini, kawasan penanaman dibahagikan kepada 38 lot dengan setiap NGO bertindak sebagai 'ibu atau bapa angkat' kepada pokok ditanam dan mereka boleh kembali ke sini pada masa hadapan untuk melihat perkembangan tanaman mereka.

"Selain HSK Batu Talam, program seperti ini akan diteruskan di beberapa kawasan lain yang memerlukan proses pemulihan dan pemeliharaan seperti di Tasik Chini dan pesisir pantai di daerah Pekan yang berdepan masalah hakisan," katanya kepada pemberita selepas program itu, di sini, hari ini.

Lebih 70 kakitangan JPNP turut terbabit dalam program itu dengan kawasan terbabit ialah sebahagian daripada lokasi operasi membanteras penerokaan haram di HSK Batu Talam oleh JPNP dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan pada awal Julai lalu.

Samsu Anuar berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak NGO untuk turut serta menyokong usaha JPNP dengan membabitkan diri dalam pelbagai program pemulihan dijadual berlangsung di Pahang.

Sementara itu, pesara kerajaan, P Kanjanahmalar, 65, yang tinggal di Air Putih, Kuantan menyifatkan penglibatannya bersama enam ahli Persatuan Pencinta Alam Sekitar (MNS) Pahang pada program itu sebagai 'peninggalan mereka kepada generasi akan datang'.

"Kita tahu hutan penting untuk mengelak bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh terutama di kawasan berbukit seperti di HSK Batu Talam.

"Tidak banyak saya boleh tinggalkan untuk anak cucu melainkan sumbangkan tenaga dalam program seperti ini.

"Harapnya pokok ditanam akan hidup dan hutan simpan akan kembali seperti sedia ada. Semoga pihak terbabit boleh membantu menjaga pokok ini sementara menunggu kehadiran kami pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Negeri Pahang, Asmawi Sulaiman berkata, tujuh ahlinya terbabit dalam program itu dan bertolak dari Kuantan sejak malam tadi, memandangkan peserta program diminta hadir awal pagi bagi sesi taklimat sebelum program bermula.

"Sukar juga untuk ke lokasi kerana ia hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda sebelum kami perlu mendaki dengan membawa alatan diperlukan serta anak pokok di tapak ditandakan.

"Lebih mencabar apabila tapak itu terletak di kawasan cerun dan keadaan licin kerana difahamkan cuaca hujan seharian semalam. Bagaimanapun, ini hanya cabaran kecil dalam menyokong usaha kerajaan negeri menerusi JPNP menanam semula hutan," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!