About Me

Sukarelawan urus jenazah Covid-19 tempuh hari 'sukar' kebumikan ibu sendiri


Shah Alam: Meskipun sudah 'lali' menguruskan jenazah pesakit Covid-19 saban hari, semalam menjadi hari berbeza dan sukar dilupakan Abdul Razak Nordin apabila perlu mengebumikan jenazah ibunya sendiri yang meninggal dunia akibat wabak itu.

Abdul Razak, 34, gagal menahan air matanya daripada tumpah sepanjang perjalanan membawa jenazah ibunya, Patimah Ibrahim, 68, dari hospital ke tanah perkuburan hingga dimasukkan ke dalam liang lahad.

Berat untuk melepaskan ibunya pergi, namun Abdul Razak reda dengan ketentuan Ilahi dan melakukan tugas mengebumikan jenazah demi menjalankan amanah bapa, Nordin Saeran, 70, dan enam adik-beradiknya yang tidak dapat hadir ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.

Abdul Razak berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir di rumah dekat Seksyen 20, di sini, sekitar 11.30 malam kelmarin dan dia hanya dapat tahu mengenainya selepas dihubungi kakak ipar, Nabila Syahrain, 33.

"Abang (Zulkarnain Nordin, 41) kemudiannya bergegas membawa emak ke Hospital Shah Alam dan doktor mengesahkan kematian pada 4 pagi semalam dengan menyatakan puncanya adalah Covid-19 Pneumonia.

"Kira-kira 4 petang hari emak meninggal dunia, saya ada menghubunginya menerusi panggilan video dan nampak keadaannya yang lesu tetapi tak sangka arwah akan pergi serta disahkan positif Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia kebetulan adalah salah seorang sukarelawan Pengurusan Jenazah Covid-19 (PJC-19) jadi mendapat kebenaran menguruskan jenazah ibunya dengan dibantu lima petugas lain.

Sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan, Abdul Razak tidak henti berdoa dan berzikir walaupun dalam keadaan berjuraian air mata.

"Arwah emak pernah menyatakan hasratnya dan harapan supaya anaknya dapat mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan seandainya meninggal dunia.

"Alhamdulillah, saya dapat tunaikan permintaannya malah berpeluang menatap wajahnya dan mengiringi perjalanan terakhirnya sebelum ke negeri abadi.

"Detik paling sebak dan buat saya 'terduduk' adalah ketika mahu memasukkan jenazah emak ke liang lahad kerana tahu itu kali terakhir dapat melihatnya," katanya yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan mula menjadi sukarelawan PJC-19 sejak dua minggu lalu.

Abdul Razak berkata, biarpun bapa, adik-beradik dan ahli keluarga lain tidak dapat bersama, dia ada meminta bantuan salah seorang petugas sukarelawan yang juga rakannya untuk mengaktifkan mod siaran langsung di Facebook (Fb) untuk tontonan mereka.

Menurutnya, dia bersyukur kerana urusan pengebumian ibunya dipermudahkan dengan bantuan Jais, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hospital Shah Alam dan Pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang menyediakan kemudahan van jenazah untuk ke tanah perkuburan.

"Tidak lupa dan terima kasih juga kepada pihak yang menginfaq wang bagi membiayai kos pengurusan jenazah emak walaupun saya tidak tahu siapa gerangannya.

"Saya terima pemergian emak dengan reda kerana percaya Allah lebih menyayanginya lagipun arwah sudah lebih setahun tiada dua jari kaki kanan yang dipotong akibat diabetes.

"Disebabkan penyakit emak juga, saya berusaha membantu pasangan yang berhasrat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh pandemik dengan menjawab pertanyaan mereka di Twitter supaya Allah memudahkan urusan saya dan syukur apabila semalam, segala-galanya dipermudahkan.

"Diharap perkongsian saya ini menjadi asbab untuk kita semua ingat akan kematian, percaya Covid-19 benar dan berikhtiar melawannya dengan mengambil suntikan vaksin," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!