About Me

Suami saya adalah seorang wira’


KUCHING – Di sebalik rasa sedih ekoran kematian insan tersa­yang, balu kepada Allahyarham Koperal Udara Sharif Mohd. Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, tetap reda dengan takdir yang menimpa suaminya selepas terkorban dalam kejadian tembakan di Ba­lai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM di Kota Samarahan pada Jumaat lalu.

Shima Mustapha, 29, berkata, dia pada mulanya tidak percaya dengan berita yang menimpa suaminya, namun menerima ketetapan itu dengan tabah.

“Ketika saya menerima khabar berita suami saya telah meninggal pada hari kejadian, pada awalnya saya tidak percaya.

“Namun, apabila saya telah mendengar nama suami saya di­sebut, saya reda dengan pemergiannya kerana saya tahu suami saya adalah seorang wira di kem tersebut,” kata Shima ketika ditemui selepas upacara pengebumian arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Me­layu Siniawan di sini semalam.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Sharif Mohd. Siddiq merupakan antara empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi.

Arwah disahkan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9.15 pagi semasa sedang menerima rawatan di Pusat Jantung Sarawak (PJS) Kota Samarahan pada hari kejadian.

Jenazah arwah tiba di tanah perkuburan pada pukul 9.15 pagi semalam diiringi pegawai dan anggota TUDM yang lain.

Upacara pengebumian jena­zah dilaksanakan dengan istiadat ketenteraan dalam keadaan cuaca mendung dan hujan gerimis.

Turut bersama Shima pada upacara pengebumian semalam ialah dua anak perempuannya, Sharifah Syafa Syakira, 5, dan Sharifah Syafa Syahirah, 3, manakala anak bongsunya Sharif Edrogan yang baharu berusia sebulan lebih tidak dibawa bersama.

“Walaupun berat, saya tetap kuatkan semangat untuk menemani jenazah suami,” ujar­nya.

Dalam pada itu, Panglima Wilayah Udara Dua, Mejar Jene­ral Datuk Shamsudin Kassim yang turut hadir turut menye­rahkan bendera TUDM dan Jalur Gemilang kepada Shima sebagai tanda penghormatan kepada jenazah.

Arwah telah berkhidmat dalam TUDM selama 12 tahun dan sebelum ini bertugas di TUDM Kepala Batas, Pulau Pinang sebelum berpindah ke TUDM Kota Samarahan kira-kira dua tahun lalu. 

-K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!