About Me

Seksanya tubuh 'dijajah' gout...


Tanah Merah: Sudah 10 tahun Che Rosli Che Long dari Kampung Lubok Buloh, di sini menderita akibat penyakit gout yang menyerang seluruh sendi tubuhnya.

Ketulan gout seakan ketumbuhan timbul di seluruh tangan dan kakinya akan pecah apabila tiba masanya dan mengeluarkan nanah dalam bentuk ketulan, namun ia akan membengkak semula dan proses itu terus berulang.

Tidak dapat dibayangkan kesakitan dialami, Che Rosli, 38, yang mengakui terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit sepanjang masa terutama pada waktu malam atau hujan kerana menyifatkan penyakit gout 'mengganas' ketika cuaca sejuk.

"Keadaan saya semakin teruk sejak lima tahun kebelakangan ini apabila ketulan di sendi makin timbul termasuk di tapak kaki sehingga menyukarkan saya untuk berjalan.

"Ketulan ini akan pecah dan ketika itu Tuhan sahaja tahu bagaimana sakitnya dan selepas nanah keluar, ia akan kembali membengkak, malah proses itu berlaku berulang-ulang," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Terdapat puluhan ketulan gout di seluruh sendi tangan dan kaki Che Rosli dan saiz paling besar adalah sebesar bola takraw yang pernah timbul di buku lali kirinya.

Menurutnya, dia kini terpaksa berjalan menggunakan tongkat kerana terdapat beberapa ketulan gout di tapak kaki dan pernah langsung tidak dapat berjalan kerana ketulan itu turut tumbuh di bawah ketiaknya menyebabkan tidak dapat menggunakan tongkat.

Katanya, selain mengambil ubat daripada hospital, dia menjalankan ikhtiar menerusi perubatan alternatif dan mengakui sudah berhabis duit demi mencari penawar terhadap penyakitnya itu.

"Setiap kali jika dapat tahu ada orang boleh mengubati gout, saya dan isteri, Mariana Che Man, 38, akan pergi dan pada masa sama, membelanjakan wang untuk membeli pelbagai produk kesihatan dijual.

"Ada produk berjaya mengurangkan rasa sakit, namun setakat ini masih tiada yang boleh menyembuhkan," katanya sambil memberitahu kerap merendam kedua-dua belah kaki dalam besen mengandungi ais demi menghilangkan rasa sakit keterlaluan.

Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society diwakili Che Norhayati Mohamed yang bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan zakat serta barang dapur.

Che Rosli yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah dan menoreh getah kini bergantung sepenuhnya kepada isterinya yang mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan tidak seberapa.

Katanya, dia ada membuat permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) beberapa bulan lalu namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas.

"Saya sudah lama tidak dapat bekerja dan pendapatan isteri hasil menoreh getah dibelanjakan untuk perubatan saya termasuk membeli ubat dan krim sapu.

"Jika ada bantuan JKM, dapatlah meringankan sedikit beban kami kerana belanja perubatan saya agak besar," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Che Rosli boleh menghubunginya di talian 013-6006727.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!