About Me

Remaja 14 tahun dituduh pecah masuk pasar raya, curi 30 telefon bimbit


Kangar: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan memecah masuk sebuah pasar raya sebelum mencuri 30 telefon bimbit di Arau pada 4 Ogos lalu.

Tertuduh yang berusia 14 tahun bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk ke dalam bangunan yang dimiliki oleh Aw Yen Hwa yang digunakan untuk menyimpan harta dan mencuri 30 telefon milik pemilik sebuah kedai, Gan Kim Ling dan Lee Khang Lin.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah pasar raya di Kompleks Tok Arau di Arau pada 4 Ogos lalu jam antara 4 pagi hingga 4.30 pagi.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga empat belas tahun dan denda atau sebat sekiranya melakukan kesalahan itu untuk kali kedua.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Ti Tying manakala tertuduh diwakili peguam, Najdah Muhamad Romli dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Najdah dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan bagi anak guamnya kerana mengambil kira ibu bapa anak guamnya itu sudah bercerai dan tertuduh tinggal bersama ibunya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Selain itu, tertuduh yang juga anak bongsu daripada empat beradik sudah tidak bersekolah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan 22 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ibu tertuduh yang turut hadir di mahkamah kemudian membayar jaminan berkenaan.

Dalam kejadian pada 4 Ogos itu, sebuah pasar raya dipecah masuk dengan menggunakan jentera pengangkut barang atau 'forklift' di Kompleks Tok Arau, Arau.

Penjenayah melarikan 30 telefon bimbit daripada dua kedai menjual telefon bimbit dan aksesori dalam pasar raya berkenaan.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!