About Me

Operasi buru peniaga tamak bermula


PUTRAJAYA – Para peniaga kini tidak boleh lagi menaikkan harga runcit minyak masak botol sesuka hati selepas kerajaan me­laksanakan penetapan harga si­ling produk tersebut berkuat kuasa semalam di seluruh negara.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pemantauan dan pemeriksaan ketat sedang dan akan dilakukan bagi mengesan mana-mana peniaga yang me­langgar harga maksimum yang ditetapkan itu.

“Pegawai dan anggota akan melakukan pemeriksaan ke atas peniaga di seluruh negara bagi memastikan mereka mematuhi harga siling yang ditetapkan KPDNHEP,” katanya dalam kenya­taan di sini semalam.

Harga siling minyak masak botol 5 kilogram (kg) adalah RM29.70, manakala botol 1kg pula RM6.70.

Kerajaan turut menetapkan harga minyak masak botol 2kg dan 3kg masing-masing RM12.70 serta RM18.70.

Penetapan harga siling itu dibuat berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin mengenai komitmen kerajaan bagi membantu rakyat dalam meringankan beban kos sara hidup dan mena­ngani isu harga ekoran lonjakan harga runcit produk itu disebabkan peningkatan harga komoditi kelapa sawit di pasaran antarabangsa, awal tahun ini.

Azman memberitahu, beliau bersama 15 pegawai penguat kuasa lain melakukan pemantauan harga produk itu di beberapa pasar raya di sekitar Johor Bahru kelmarin.

Tindakan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi harga baharu yang ditetapkan KPDNHEP di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sabit kesalahan, peniaga yang ingkar boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun sebanyak RM50,000.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan prog­ram harga kawalan berasaskan nilai ambang Crude Palm Oil dalam botol bagi kuantiti 5kg tidak me­lebihi RM30.

Penetapan harga siling itu tertakluk di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum bagi Minyak Masak) 2021.

Pelaksanaan harga maksimum itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai agensi, pihak industri dan trend harga produk di pasaran domestik.

Tambah Azman, pemberian subsidi bagi minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kg masih kekal berharga RM2.50.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pe­langgaran harga barangan itu boleh membuat aduan melalui portal e-a­duan.kpdnhep, talian 1-800-886-800 dan aplikasi WhatsApp di nombor 019-2794317. 

-K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!