About Me

Nenek lapan cucu kayuh basikal agih bantuan


BALIK PULAU – Usia emas bukan penghalang buat seorang nenek berusia 65 tahun berbasikal mengelilingi kampung untuk menghantar barang keperluan asas kepada penduduk di Teluk Kumbar di sini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Noorbi Ahmad atau lebih mesra disapa Nek Norbi berkata, biarpun dimamah usia, namun dia tekad menjadi sukarelawan Maj­lis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gemuroh sejak awal tahun lalu bagi melancarkan urusan membantu golongan susah.

Nenek kepada lapan orang cucu itu memberitahu, setiap hari dia akan mengayuh basikal miliknya sejauh dua kilometer untuk menghantar bantuan barangan keperluan kepada penduduk yang memerlukan.

Lokasi penghantaran bara­ngan melibatkan Kampung Sulup, Kampung Nelayan, Taman Sahabat, kawasan rumah murah dan pekan lama Teluk Kumbar.

“Inilah cara saya berkhidmat kepada masyarakat. Janji hati saya gembira dan puas dapat memudahkan urusan kerja barisan jawatan kuasa MPKK serta membantu penduduk setempat.

“Memang sebelum ini saya aktif berpolitik sejak usia muda, namun disebabkan umur yang semakin lanjut, saya mengambil keputusan untuk berehat,” katanya di sini semalam.

Menurut Nek Norbi, dia tidak pernah merasakan dirinya terbeban apabila diminta membantu membawa 15 kilogram beras bersama barangan keperluan lain ke rumah penduduk yang terkesan termasuk warga emas uzur dan orang kelainan upaya (OKU).

“Saya akan memastikan barang yang dibawa itu disusun dengan baik dan seimbang di dalam raga serta di bahagian tempat duduk belakang.

“Pernah juga saya hampir terbabas di tepi jalan ketika berselisih dengan kenderaan berat,” ujarnya.

Dalam pada itu, menyingkap kisah kehidupan dahulu, Nek Norbi memberitahu, dia mula berbasikal sejak usia remaja.

“Basikal yang saya gunakan kini adalah yang ke-15 selepas kebanyakannya telah rosak termasuk dicuri.

“Bagi saya, memilih menjalani aktiviti berbasikal juga membantu meningkat kecergasan tubuh badan selain dapat menguatkan otot. Ini sebahagian petua yang saya amalkan dari dulu sehingga kini,” tambahnya.

- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!