About Me

Murninya hatimu anak muda


Ampang Jaya: Murninya hati seorang penghantar makanan berbasikal, Muhammad Khairin Danish Mohd Khairani yang membantu seorang warga emas berkerusi roda melintas jalan.

Kisah Muhammad Khairin Danish, 18, tular selepas videonya membantu warga emas itu dimuat naik seorang pemuda bernama Fauzul Hakim di TikTok.

Muhammad Khairin Danish berkata, dia ternampak warga emas berkerusi roda itu ketika berbasikal berhampiran berhampiran Jalan Sultan Ismail, di sini.

"Seingat saya, insiden itu berlaku pada minggu lalu kira-kira jam 2 petang.

"Kebetulan, saya berbasikal di situ, sedang menunggu pesanan dan ternampak lelaki berkerusi roda itu mahu melintas jalan.

"Jalan itu memang sibuk dan kenderaan pula laju jadi saya takut berlaku perkara tidak diingini jika membiarkannya melintas sendiri.

"Disebabkan itu, saya turun dari basikal dan membantu menolak kerusi roda untuk membantunya melintas jalan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Khairin Danish berkata, dia tidak tahu video itu tular di laman sosial sehingga diberitahu rakannya.

"Tak tahu hendak kata apa, tergelak pun ada apabila melihat video itu kerana bagi saya, ia biasa saja.

"Lagipun, saya seorang yang mudah kasihankan orang jadi niat saya membantu lelaki berkenaan bagi memudahkannya selain bimbang ada perasaan ralat jika tidak melakukannya terutama jika berlaku kemalangan.

"Saya juga lakukannya kerana ingat pesanan guru di sekolah (Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya) supaya bantu orang lain jika mahu Allah permudahkan urusan kita," katanya.

Berkongsi perihal dirinya, Muhammad Khairin Danish berkata, dia kini penuntut semester pertama Diploma Pengurusan Perladangan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu, Sarawak.

Katanya, sesi pengajaran dan pembelajaran kini dijalankan secara maya jadi dia manfaatkan hari tanpa kuliah dalam talian dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

"Saya bekerja sebagai penghantar makanan sejak Mei lalu selepas berhenti kerja di sebuah restoran makanan segera.

"Setakat ini, saya selesa dengan pekerjaan sekarang dan tiada masalah cuma pernah terjatuh basikal sekali hingga mengalami luka serta patah jari.

"Insiden itu terjadi di Jalan Sultan Ismail berhampiran lokasi saya bertemu lelaki berkerusi roda itu dan apa dialami juga salah satu sebab saya nekad mahu membantunya tempoh hari," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!