About Me

'Mahu cari banyak duit untuk bantu mereka'


Kuala Lumpur: "Keluarga bukan orang senang jadi saya mahu cari banyak duit untuk bantu mereka," kata Muhamad Sukri Alif Jaafar, 21.

Kesungguhan pemuda berasal dari Kampung Selinsing, Gunung Semanggol, Perak itu mencari rezeki terbukti kerana dia bukan hanya melakukan satu pekerjaan sebaliknya tiga demi menanggung diri dan keluarganya terutama ibu, Halijah Baharuddin, 51, dan bapanya, Jaafar Ishak, 53, di kampung.

Menurutnya, kedua ibu bapanya mengusahakan kedai makan di kampung namun terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Bercerita lanjut, Muhamad Sukri yang menetap di Jalan Genting Kelang, di sini, berkata, pekerjaan tetapnya adalah sebagai penghantar barangan di sebuah syarikat penghantaran bungkusan dan sudah bekerja di situ sejak tiga bulan lalu.

"Saya juga bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di dua syarikat penghantaran berlainan. Saya merantau ke sini (ibu kota) selepas tamat persekolahan ketika berusia 18 tahun.

"Ikutkan mahu duduk di kampung untuk jaga, bantu emak dan ayah di kedai makan. Namun, emak cadangkan saya cari pekerjaan lebih baik di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui di hadapan pusat beli belah Setapak Central, di sini.

Muhamad Sukri berkata, dia pernah pernah bekerja di kedai serbaneka dan premis menjual perkakas rumah tetapi berhenti dan keutamaannya kini adalah bekerja sebagai penghantar bungkusan di syarikat penghantaran bungkusan pada waktu pejabat.

"Pada sebelah malam dan hujung minggu pula, saya manfaatkan masan bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Penat memang penat tetapi nak buat macam mana, mungkin ini rezeki saya dan reda. Panas atau hujan, saya redah saja.

"Selesai menghantar bungkusan iaitu lazimnya selepas Maghrib, saya akan siap sedia untuk mengambil dan menghantar pesanan pelanggan pula.

"Pendapatan tidak menentu tetapi saya bersyukur kerana dapat meraih antara RM2,500 hingga RM3,500 (sebulan) dan yang paling penting dapat beri wang belanja kepada emak ayah di kampung," katanya.

Katanya, dia menyedari pekerjaan sepertinya itu terdedah dengan risiko kemalangan kerana kebanyakan masanya berada atas jalan raya.

"Memang pernah terbabit kemalangan tetapi tidak teruk iaitu terlanggar tiang ketika mahu mengelak pintu kereta yang sedang dibuka.

"Selain itu, saya pernah juga dikejar anjing dan percaya ramai penghantar makanan atau bungkusan pernah berdepan detik mencemaskan itu.

"Saya anggap semua itu cabaran saja kerana di luar sana, ramai yang hilang kerja dan menanti peluang pekerjaan jadi apa dilalui saya ini hanya sedikit berbanding ujian ditanggung mereka," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!