About Me

Lengkap dos kedua, Omma Akira positif Covid-19


Kuala Lumpur: Bekas pemain gitar utama kumpulan Laksamana, Omma Akira, 53, mendedahkan dia dijangkiti Covid-19 selepas selesai mengambil vaksin dos kedua pada 24 Julai lalu.

   Omma atau nama sebenarnya Omar Aziz berkata, selepas mendapatkan suntikan vaksin kedua itu, keesokannya dia terus keluar bekerja seperti biasa.

   "Disebabkan sektor muzik masih ditutup sampai sekarang, saya bekerja di i-Cafe Bandar Baru Sungai Buloh, membantu rakan saya, Kidat yang berniaga buah-buahan.

   "Saya tak kisah nak buat kerja apa pun, janji ada rezeki untuk anak-anak. Jadi, saya pergi bekerja seperti biasa selepas pengambilan vaksin kedua itu.


   "Mungkin disebabkan bercampur dengan ramai orang, balik rumah malam itu saya terus lemah sendi-sendi, demam, batuk dan selesema serta lembik tak bermaya," katanya kepada Harian Metro.

   Menurut Omma, dia bagaimanapun segera menjalani ujian calitan di sebuah klinik swasta dan hasilnya positif Covid-19.

  "Ketika itu, saya takut nak pergi buat ujian calitan di hospital sebab terlalu ramai pesakit Covid-19. Malah, saudara saya yang pergi ke hospital kata, keadaan tak terkawal hingga ada pesakit terpaksa tunggu di luar bangunan.

   "Buat ujian calitan di klinik swasta pun tiada masalah kerana mereka tetap mengikut prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya juga ikut saranan doktor dan makan ubat sampai sembuh," katanya.

   Omma berkata apapun dia bersyukur kini sudah pulih daripada Covid-19 selepas 10 hari menjalani kuarantin kendiri di rumah. Katanya pada 11 Ogos lalu, dia sudah membuat ujian calitan dan syukur disahkan negatif dan kini sembuh sepenuhnya.

   Omma berkata ketika kuarantin di rumah, dia juga mendapat idea menghasilkan lagu instrumental gitar berkenaan Covid-19.

   "Lagu melankolik berjudul Crying For You (Tangisan Marhain) dihasilkan menerusi pengalaman saya sendiri yang positif Covid-19.

   "Ia turut saya dedikasikan untuk petugas barisan hadapan kita dan semua pesakit Covid-19 yang sudah kembali ke Rahmatullah.

   "Sama-sama kita sedekahkan A-Fatihah buat mereka. Tidak lupa, kita sama-sama sentiasa menjaga diri dan keluarga denga mengikut prosedur operasi standard (SOP)ditetapkan," katanya memaklumkan lagu itu boleh ditonton di YouTube Omar Akira.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!