About Me

Kekasih pun lari kerana jerawat batu! Bertahun kena ‘face shaming’, keluarga berhabis duit selamatkan wajah si gadis... siapa sangka kini menghitung hari bahagia


WANITA mana yang tidak sedih apabila keadaan wajah menjadi bahan bualan atau hinaan orang lain.

Begitulah yang dirasai oleh gadis ini apabila wajahnya yang sedikit gelap dan ditumbuhi jerawat pernah menjadi sindiran rakan-rakan sekolah.

Selama bertahun-tahun menjadi mangsa 'face-shaming', gadis ini akhirnya mampu mengukir senyuman selepas wajahnya beransur pulih.

Dia turut memuat naik video transformasi keadaan wajahnya menerusi aplikasi TikTok sebagai perkongsian pengalaman bersama warganet.

"Another acne survivor. Before and after still cantik.... tak tipu!" demikian antara komen positif netizen.

Menurut gadis bernama Nur Shakerah Razali, sama seperti kebanyakan gadis remaja lain, kulit wajahnya tidak terkecuali ditumbuhi jerawat ketika sedang menuntut di sekolah menengah.

"Masa zaman sekolah, kulit wajah saya tak teruk sangat... ada juga jerawat tapi biasa-biasa saja. Cuma gelap sikit sebab saya aktif bersukan.

"Nak dijadikan cerita, saya terpengaruh dengan rakan untuk mencuba satu produk tempatan ni. Tapi bila saya berhenti pakai, terus breakout. Bermulalah pengalaman ngeri wajah saya bukan saja gelap, siap tumbuh jerawat batu yang besar-besar.

"Sedih sangat tengok kulit muka sendiri. Masa sekolah tu memang biasa kena ejek dengan pelbagai perkataan seperti hitam, buruk, jerawat tapi saya buat tak layan walaupun dalam hati ni sedih.

Keadaan wajah Nur Shakerah ketika 'breakout' teruk (kiri), gambar terkini wajahnya selepas penggunaan krim yang disarankan kenalan di Facebook (kanan).

"Sepanjang bertahun kulit bermasalah, tahun ini boleh dikatakan paling teruk breakout," cerita gadis berusia 22 tahun yang berasal dari Temerloh, Pahang ini.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, bapa dan ibu saudaranya sanggup berhabis wang ringgit demi memulih dan merawat keadaan kulit wajahnya.

"Macam-macam produk yang orang rekomen saya cuba. Klinik pakar kulit pun dah pergi... namun semuanya tak menjadi. Wang ringgit pula dah banyak ayah dengan makcik belanjakan. Memang sepanjang lima tahun tu kulit tak pernah flawless.

"Hinggalah ada seorang hamba Allah ni, dia DM saya dekat Facebook dan rekomen satu krim muka. Saya sekadar nak cuba sebagai ikhtiar... mana tahu kalau-kalau serasi.

"Memang tak disangka-sangka, krim itu serasi dengan kulit muka saya. Setakat ini saya baru guna empat bulan namun sedikit demi sedikit dah nampak perubahan. Walaupun bekas parut pada kulit tak hilang, namun keadaan wajah makin pulih," katanya.

Bercerita lebih lanjut, Nur Shakera berkata dia juga pernah mengalami krisis keyakinan diri disebabkan masalah kulit wajahnya itu.

"Sebelum ini ketika kulit saya masih bermasalah, saya pernah menjalin hubungan dengan seorang lelaki. Namun lama kelamaan dia ungkit juga pasal wajah saya... mungkin sebenarnya dia tak dapat terima saya.

"Kemudian Allah takdirkan saya bertemu dengan seorang lelaki yang dapat menerima saya seadanya. Ketika itu kulit saya masih breakout. Alhamdulillah, dari tahun 2019 berkenalan, insyaAllah kami akan diijabkabulkan pada September ini," ujarnya.

Tambah Nur Shakerah, dia tidak menyangka menerima komen-komen positif daripada netizen selepas berkongsi kisah mengenai kulit wajahnya.

"Saya harap perkongsian berkenaan sedikit sebanyak dapat memberi semangat kepada gadis-gadis di luar sana yang juga berdepan masalah sama seperti saya. Jangan putus asa, ikhtiar selagi mampu. Abaikan saja apa yang orang nak kata," akhirinya.

- mstar.com.my

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!