About Me

Hilang 4 insan tersayang kerana Covid-19


Kuala Terengganu: Tanggal 4 dan 5 Ogos lalu pasti tidak akan dilupakan Koperal Mohd Shahrulrizal Kamaruzaman, 36, yang kehilangan dua insan kesayangan akibat dijangkiti Covid-19.

Lebih memeritkan apabila dia yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu tidak dapat menguruskan jenazah mereka sebaliknya hanya mampu melihat segala proses pengebumian diuruskan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Selain kehilangan ibu angkatnya, Zurina Othman, 66, dan bapa angkat, Che Embi Mat, 72, Mohd Shahrulrizal turut kehilangan bapa saudara Abdul Aziz Othman, 72, dan ibu saudara, Salmiah Putih, 71, akibat virus Covid-19.

Menurut Mohd Shahrulrizal, dia bersama kakak angkatnya, Siti Maria Redzuan, 37, sudah lebih setahun tidak pulang menjenguk orang tua mereka di Sungai Petani, Kedah dan hanya panggilan telefon menjadi penghubung dalam tempoh berkenaan.


"Sebenarnya, mereka ibu bapa angkat kami malah saya dan kakak juga sebenarnya adalah sepupu namun kami dijaga mereka sejak kami kecil lagi.

"Pemergian mereka amat memberi kesan besar kepada kami apatah lagi kami tidak dapat menguruskan jenazah mereka.

"Bayangkan sudah lebih setahun kami tidak berjumpa dan kali terakhir kami sekeluarga berkumpul pada Jun tahun lalu apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan selepas kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ketika itu.

"Ketika itu, kami sekeluarga bercuti di Langkawi dan itu kenangan terakhir kami bersama mereka dan ujian ini amat berat kerana kami tidak sempat menjaga dan menatap wajah mereka sehingga mereka dijemput Ilahi," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, arwah ibu dan bapa angkatnya itu membuat ujian calitan Covid-19 pada 22 Julai lalu selepas beberapa hari demam.

"Pada 12 Julai lalu, mak menerima suntikan vaksin dos pertama di Hospital Pantai Sungai Petani sebelum dia mengalami demam dan sakit sendi pada malam kejadian.

"Pada mulanya, saya ingatkan ia kesan pengambilan vaksin diikuti ayah turut mengalami simptom sama pada 18 Julai lalu.

"Melihat keadaan mereka yang semakin teruk, saya meminta tolong anak angkat mak untuk membawa mereka ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk membuat ujian calitan sebelum kedua-dua mereka diminta menjalani kuarantin di rumah.

"Ketika itu, pihak KKM tidak memaklumkan keputusan ujian calitan namun keadaan mereka semakin teruk sebelum mereka akhirnya disahkan positif," katanya.

Rizal berkata, mereka dibawa ke HSAH Sungai Petani pada 26 Julai lalu sebelum arwah ayah dipindahkan ke Hospital Sungai Petani pada 1 Ogos lalu.

"Apabila mereka dimasukkan hospital, kakak yang bekerja di Lumut, Perak pulang ke kampung pada 26 Julai lalu dan saya pula dibenarkan balik pada keesokan harinya.

"Walaupun kami berada di sana tetapi kami tidak dapat berjumpa dengan mereka dan hanya dibenarkan menghantar makanan sahaja.

"Sepanjang tempoh berkenaan, kami hanya berhubung melalui telefon sebelum ayah disahkan meninggal dunia pada 4 Ogos lalu manakala mak menghembuskan nafas terakhir pada keesokan harinya di HSAH.

"Sebelum ayah dan mak pergi, bapa dan ibu saudara yang menetap Sungai Petani, Kedah juga meninggal pada 24 Julai dan 3 Ogos lalu akibat virus sama," katanya sambil memaklumkan Allahyarham bapanya belum menerima suntikan vaksin.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!