About Me

Hasrat Koperal Ehsan lihat rumah baru tidak kesampaian


Kuching: Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat, 26, sering membayangkan kehidupan yang lebih selesa apabila rumah yang dibinanya di Kampung Asajaya Laut, Samarahan, siap tidak lama lagi.

Malah, Allahyarham amat mengharapkan rumah impiannya itu siap sebelum anak sulungnya lahir kerana ketika ini mereka masih menyewa rumah di Tabuan Laru di sini.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Mohammad Ehsan, antara empat yang terkorban dalam kejadian amuk di Balai Pengawal di Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, pagi semalam.

Isterinya, Nur Atiqah Nurul Supyie, 29, yang kini mengandung empat bulan berkata, arwah suaminya berulang kali menyatakan hasrat mahu rumah itu siap segera kerana beliau mahu mengadakan majlis kesyukuran menduduki rumah baharu serta kelahiran anak sulung, serentak.


Menurutnya, rumah itu kini masih dalam pembinaan dan beliau bertekad meneruskan hajat suaminya untuk menyiapkan pembinaan rumah idaman mereka.

"Melihat perkembangan pembinaan rumah itu, arwah gembira kerana yakin ia akan siap sebelum anak kami lahir.

"Apakan daya, hasratnya itu tidak kesampaian kerana dia pergi dahulu sebelum rumah impiannya siap," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu.

Nur Atiqah Nurul berkata, dia bertekad untuk memastikan rumah mereka siap sebelum kelahiran anak pertama seperti yang arwah suaminya impikan.

Menurutnya, suaminya tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum kejadian itu, namun sempat menghubunginya kira-kira jam 7 pagi semalam, beberapa minit sebelum kejadian yang meragut nyawanya.

"Dia keluar rumah pada jam 6.30 pagi dan setibanya di tempat kerja dia menghubungi saya memberitahu sudah sampai.

"Sebelum menamatkan perbualan, dia sempat berpesan kepada saya untuk mengambil barang dari kakaknya, namun tidak pula beritahu apa barangnya," katanya.

Tiga lagi yang terkorban dalam kejadian pada jam 7.15 pagi semalam ialah Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu, Koperal Udara Ho Swee Boon berasal dari Lundu dan Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli berasal dari Siniawan, Bau.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!