About Me

Dibunuh kejam geng sindiket 'keldai akaun'


Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan yang ditemui mati di sebuah bilik hotel di Jalan Ceylon di sini, Sabtu lalu, dipercayai pernah dijadikan 'keldai akaun' oleh sindiket penipuan tempatan.

Ia susulan penahanan tujuh lelaki yang dipercayai suspek utama yang terbabit dalam kejadian bunuh mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menerima laporan pertama berhubung kehilangan pengawal keselamatan itu pada 29 Julai lalu dibuat oleh isteri mangsa.

"Susulan itu pihak polis menyerbu satu unit pangsapuri di Jalan Kuching di sini, sebelum berjaya menyelamatkan empat lelaki dan seorang wanita yang dikurung di sebuah kediaman.


"Semua lima mangsa yang diselamatkan itu dijadikan 'keldai akaun' oleh tujuh lelaki.

"Isteri mangsa juga memaklumkan seorang rakan suaminya membawa mangsa ke sebuah hotel di Jalan Bukit Ceylon di sini, pada Khamis lalu,"katanya pada sidang media di sini, tadi.

Susulan itu pihak polis memeriksa bilik di hotel berkenaan sebelum menemui mangsa terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian akibat pukulan objek tumpul di muka dan kepala mengakibatkan pendarahan di bawah selaput otak mangsa," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan televisyen litar tertutup (CCTV) mengesan kelibat lima lelaki yang dipercayai berada bersama-sama mangsa di dalam bilik itu.

"Bertindak atas risikan, kami berjaya menahan tujuh lelaki tempatan berusia 18 hingga 26 tahun menerusi dua serbuan di Jalan Kuching dan di Bangsar South di sini, semalam.

"Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM24,901 serta beberapa barangan seperti sepucuk pistol angin, telefon bimbit pelbagai jenama dan 34 pengeluaran wang automatik (ATM)," katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!