About Me

Ciuman terakhir buat bapa


Seremban: Penghantar makanan sempat mencium dan memeluk bapanya sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Seremban-Paroi, dekat sini, hari ini.

Abang mangsa, Muhammad Faisal Radhuan, 33, berkata, Allahyarham Khairil Anwar, 27, jarang berkelakuan seperti itu memandangkan arwah tinggal bersama bapa di Senawang, di sini.

"Pagi tadi sebelum keluar bekerja, adik bersalam, memeluk dan mencium bapa. Perkara itu agak pelik kerana arwah tidak pernah berbuat sedemikian.

"Sebaik menerima berita mengenai kemalangan itu, bapa paling beremosi kerana tidak menyangka itu adalah ciuman terakhir arwah," katanya ketika ditemui Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, Khairil Anwar yang menunggang motosikal maut selepas dipercayai bertembung dengan Perodua Alza.

Muhammad Faisal berkata, dia menerima mesej daripada rakannya memaklumkan mengenai kemalangan itu dan bergegas pulang dari tempat kerja di Sepang, Selangor.

"Pada mulanya saya menyangka ia hanya kemalangan biasa, namun sebaik melihat gambar arwah yang terbaring di jalan, saya sudah mengagak yang nyawa adik tidak panjang.

"Arwah anak ketiga daripada empat beradik dan akan melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya tidak lama lagi. Dia bekerja keras mengumpul wang untuk majlis perkahwinannya nanti," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa tidak sempat mengelak Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dari arah Paroi.

"Sebaik tiba di simpang empat lampu isyarat, kereta berkenaan bergerak ke hadapan secara lurus sebelum motosikal jenis Honda RS150 ditunggang mangsa dari arah kiri simpang tidak sempat mengelak kenderaan berkenaan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!