About Me

Bapa amat rindu, sehari sebelum Mohd Arifah meninggal dunia


Melaka: "Sehari sebelum anak saya maut semasa bertugas, saya terlalu merinduinya, namun saya tidak tahu itu antara tanda kami kehilangannya buat selama-lamanya," kata Md Yasin Md Deris, 76, ayah kepada anggota polis, Allahyarham Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36 yang maut selepas terbabit kemalangan ketika mengejar suspek lumba haram di Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK), Selangor, Ahad lalu.

Perasaannya rindu yang terlalu mendalam itu diluahkannya kepada isterinya, Che Ah Md Lani, 76, dengan menyimpan hasrat untuk berkunjung ke rumah Allahyarham di Sepang, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan keinginannya itu terpaksa dilupakan seketika.

Bagaimanapun, sehari selepas itu dia terkejut selepas dimaklumkan anak bongsu daripada lapan adik beradik itu terbabit maut bersama rakan setugasnya Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26.

Beliau berkata, kali terakhir, dia bertemu Mohd Arifah, kira- kira tiga bulan lalu di kediamannya di Kampung Padang di sini, selepas Allahyarham bersama anak-anak yang lain turut menziarahi isterinya yang sakit.

"Tiada apa-apa perubahan semasa pertemuan itu kerana dia seperti biasa sahaja dan sering tersenyum dan mesra berbicara walaupun dia agak pendiam. Walaupun sibuk dengan tugas dia berkesempatan menjengah kami.

"Dalam tempoh selepas itu kami juga sering berhubung menerusi panggilan telefon dan kumpulan WhatsApp keluarga, namun tiada apa-apa perubahan kerana dia macam biasa sahaja. Dia anak yang baik dan manja dengan kami, tambahan dia anak bongsu," katanya sambil mengalirkan air mata.

Beliau berkata, Allahyarham juga sudah menunaikan haji, apabila dia dan isteri ke Makkah dengan membawanya bersama semasa anaknya itu masih bersekolah dan berusia 15 tahun.

Menurutnya, Allahyarham juga anak yang baik, mendengar kata selain amat mengambil berat hal dirinya dan keluarga.

Walaupun agak pendiam, namun sering tersenyum dan melapangkan dadanya setiap kali bertemu.

Jelasnya, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki masing-masing berusia sembilan , lima tahun dan dua bulan.

Hadir sama menziarahi dan mengucapkan takziah kepada Md Yasin termasuk Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Jenazah dibawa masuk ke rumah keluarga Allahyarham sebelum disolatkan di masjid kampung terbabit dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Wakaf Baru Kampung Padang, malam tadi.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!