About Me

Bakti buat abang kandung selepas pemergian suami


Johor Bahru: "Saya perlu tabah berdepan dugaan apabila kini menjaga abang kandung selepas suami yang dijaga sebelum ini pergi buat selama-lamanya pada Mac lalu," kata Zainab Said, 55.

Ibu tunggal berkenaan sebelum ini menjaga suaminya Razali Ismail, 59, yang terlantar akibat menderita penyakit darah tinggi, masalah jantung dan ulser pada November lalu.

Manakala, abangnya Abdullah, 57, juga jatuh sakit pada bulan sama akibat diserang strok.

Zainab dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini, berkata, dia bergilir-gilir menjaga arwah suaminya dan abang kandung apabila kedua-duanya jatuh sakit pada masa sama.

Menurutnya, takdir menentukan segalanya apabila suaminya yang juga peniaga gerai sate meninggal dunia akibat penyakit kronik.

Katanya, nasib keluarganya bagai jatuh ditimpa tangga apabila abangnya yang berstatus duda dan tinggal bersamanya diserang strok pada November lalu.

"Saya amat bersyukur kerana Allah memberi kekuatan mental bagi menjaga abang dan arwah suami sebelum suami meninggal dunia pada Mac lalu.

"Sehingga kini, keadaan abang saya masih sama iaitu hanya boleh bergerak secara perlahan dan tidak mampu melakukan rutin harian hingga terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia tapak binaan.

"Walaupun saya hilang punca pendapatan kerana tidak mampu berniaga sate sejak pandemik Covid-19, saya tabah menjaga abang dengan ihsan ramai dan bantuan ahli keluarga," katanya.

Zainab berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengasas Pertubuhan Care United Datuk Florence Goh dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Faridah Mustafa yang menyerahkan sumbangan kepada keluarga itu.

Menurutnya, ketika ini dia masih menyara anak bongsu daripada lima beradik, Nur Arisa Qaleesya, 9, manakala anak ketiga dan keempatnya tinggal bersama keluarga adik perempuannya di Mersing.

Katanya, anak pertama serta kedua sudah berkahwin dan mereka membantu setakat mampu manakala anak ketiga adalah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Saya bergantung kepada simpanan keluarga selain sumbangan makan dan barangan keperluan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

"Bagaimanapun, saya berdepan kesulitan bagi membeli susu khas disyorkan doktor bagi abang iaitu kira-kira RM300 sebulan.

"Saya bercadang membuka gerai sate semula, namun terpaksa ditangguhkan kerana perlu menjaga abang selain turut bimbang berdepan risiko jangkitan Covid-19," katamya.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga Zainab boleh menyalurkan sumbangan dengan menghubunginya di talian 018-9128455.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!