About Me

Aisyah sumber kekuatan ibu bapa


Melaka: Perlu bergantung kepada tabung oksigen tidak menghalang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ini untuk terus mengukir senyuman sekali gus menjadi sumber kekuatan buat ibu bapanya.

Siti Syafiqah Rashid, 28, dari Padang Temu, di sini, berkata anaknya, Nur Aurel Malika Mohamad Khairil Anuar atau mesra dipanggil Aisyah, 3, disahkan lambat perkembangan sejak berusia tiga bulan.

"Paru-paru Aisyah juga pernah dijangkiti kuman menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke dalam wad selama tiga bulan ketika berusia setahun.

"Aisyah terpaksa diberi bantuan oksigen sejak Februari tahun lalu dan disahkan oleh doktor menghidapi penyakit Nemaline Myopathy (penyakit otot) pada Mei tahun lalu," katanya ketika dihubungi, di sini.

Bagaimanapun, Siti Syafiqah mengakui dia berasa lebih lega kerana Aisyah kini bebas daripada ujian yang memerlukan dia untuk berada di hospital dalam jangka masa yang lama.

Menurutnya, anak perempuannya memiliki personaliti yang ceria dan sangat gemar bermain bersama kakaknya.

Katanya, jika dulu Aisyah hanya terlantar, kini dia mempunyai keupayaan untuk duduk sendiri selepas kerap menjalani rawatan fisioterapi bagi menguatkan otot.

"Aisyah menggunakan dua jenis mesin oksigen, satu mesin yang boleh disambung ke suis dan satu lagi adalah tangki oksigen yang perlu diisikan gas sekiranya kami ingin keluar.

"Sepanjang dipakaikan oksigen, Aisyah memahami tangki itu membantu dia untuk bernafas dan kalau kita buka sebentar untuk mandi, dia sendiri yang akan meminta untuk dipakaikan," katanya.

Menurutnya, saat membesarkan anugerah terindah seperti Aisyah, dia mengakui ada cabaran yang dihadapi mereka dari segi menjalani rawatan fisioterapi serta persepsi orang ramai.

Katanya, Aisyah sering mendapat perhatian kerana sentiasa bersama tangki oksigen dan dia berasa sukar untuk menjawab pertanyaan orang awam pada awalnya.

"Namun, sekarang saya sudah terbiasa dan Alhamdulillah pada masa sama orang ramai juga mempunyai kesedaran mengenai penyakit yang jarang ada di Malaysia.

"Sebagai ibu, saya sangat mengimpikan untuk melihat Aisyah membesar seperti kanak-kanak lain dan dapat menguruskan diri sendiri satu hari nanti," katanya.

Siti Syafiqah turut berkongsi keadaan Aisyah menerusi akaun TikToknya dan rata-rata mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang ramai.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!