About Me

Warga emas sesat ketika cari lembu hilang


Jeli: "Ayah sempat menghubungi abang di Kuala Lumpur memberitahu dia sesat di dalam hutan, malah suaranya juga kedengaran sangat letih," kata Rofiah Abdullah, 37,

Dia adalah anak warga emas Abdullah Che Kob, 74, yang ditemui anggota bomba selepas sesat ketika mencari lembu yang hilang di Kampung Tebing Timbah, Bukit Selar, di sini, hari ini.

Rofiah berkata, bapanya keluar ke hutan sendirian selepas sarapan sekitar 9 pagi tadi sebelum menelefon abangya, Mohd Hamdan, 43, pada 1 tengah hari memberitahu dia tidak jumpa jalan untuk pulang.

"Ayah memberitahu saya, dia buntu seketika sebelum terdetik untuk menelefon anak-anak. Dia hanya mampu mendail nombor telefon abang sebelum khabar ini disampaikan kepada adik-beradik di kampung.

"Kami kemudian meminta bantuan pihak bomba kerana risau dengan keadaan ayah, malah bersyukur telefon bimbit miliknya tidak kehabisan bateri dan masih boleh dihubungi.

"Tindakan ayah masuk ke hutan susulan 16 ekor lembunya hilang sejak beberapa hari lalu, membuatkan dia nekad untuk mencari sendiri dan tidak menyangka boleh tersesat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, dia sekeluarga bersyukur kerana bapanya ditemui selamat walaupun agak keletihan dan berharap agar kejadian sebegitu tidak berulang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan pada 2.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk misi mencari mangsa.

Katanya, seramai 15 anggota dibantu lima anggota polis serta lima orang awam turut sama mencari warga emas berkenaan.

"Kita turut menggunakan kaedah membunyikan siren kenderaan bomba agar mangsa dapat mencari jalan keluar memandangkan warga emas berkenaan dapat dihubungi melalui talian telefon.

"Mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat tetapi keletihan pada 3.15 petang tadi lalu diberi minuman sebelum dibawa keluar," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!