About Me

Terbayang maut ketika kuku harimau cengkam dada


Gua Musang: "Saya dikejar sebelum diterkam harimau sehingga jatuh, sebelum dipijak dengan kaki kiri. Tidak cukup dengan itu, harimau berkenaan mencengkam dada saya dengan kuku hingga sukar bergerak," kata lelaki Orang Asli, Adin Andok, 48, yang parah diserang harimau, 4 Julai lalu.

Bagaimanapun, Adin berkata, dia tidak menyerah kalah dan cuba melawan dengan mengambil golok di pinggangnya untuk melawan harimau berkenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Adin berkata, dia terpaksa bergelut selama 10 minit.

Katanya, dalam pergelutan itu dia sempat menetak kepala harimau menggunakan golok miliknya sebelum berjaya melepaskan diri dari cengkaman binatang itu.

Akibatnya, lelaki berkenaan cedera di kepala, dada, mata kiri, kedua-dua lengan dan betis kiri.

"Saya tidak sangka berdepan detik cemas itu kerana tiba-tiba sahaja haiwan itu menerkam ketika sedang berada di kebun ubi.

"Saya nekad melawan harimau itu tanpa memikirkan kesannya. Saya hanya terbayangkan maut ketika kejadian.

"Saya ibarat diberi nyawa kedua selepas terselamat daripada cengkaman haiwan ganas itu yang pertama kali dihadapi," katanya ketika ditemui di Pusat Transit Pesakit Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, dekat di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang 4 Julai lalu, Adin ke kebun ubi kayunya seorang diri, sebelum ternampak tapak kaki besar dipercayai harimau.

Ketika sedang meneliti tapak kaki berkenaan, haiwan itu tiba-tiba muncul di depan mata dan terus menerkamnya sehingga berlaku pergelutan.

Susulan kejadian itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak memasang perangkap dan harimau terbabit berjaya ditangkap pada 15 Julai lalu.

Menurut Adin, peristiwa itu masih segar dalam ingatannya dan dia diselamatkan penduduk dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Adin yang tinggal di Kampung Badak, Pos Bihai, dekat sini, menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai selama sembilan hari, sebelum dibenarkan pulang berehat di Pusat Transit RPS.

Dia kini beransur pulih daripada kecederaannya.

"Walaupun kejadian itu masih berlegar dalam fikiran, namun saya akan meneruskan aktiviti berkebun yang menjadi punca ekonomi bagi menyara hidup kami keluarganya," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!