About Me

Tam, arwah Tony sempat solat jemaah di studio


KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Tam Mustafah mendedahkan sempat solat berjemaah bersama bekas pemain bass kumpulan Spider, Tony Iskandar Alberto yang menghembuskan nafas terakhir di studio Luncai Emas, Sungai Buloh awal pagi tadi ketika bertemunya dua hari lalu.

Tam yang juga vokalis dan gitaris Spider memaklumkan, dia dapat merasakan bagai ada sesuatu tidak kena apabila arwah Tony secara tiba-tiba memohon maaf ketika pertemuan itu.

"Arwah memang menetap di studio Luncai Emas kerana Spider mempunyai bilik di situ. Saya tinggal berdekatan, jadi

sering bertemu arwah untuk bersembang dan menghantar makanan.


"Sepanjang bersahabat, saya memang tahu arwah berjuang melawan penyakit kencing manis. Cuma, arwah bukan seorang yang suka nak tunjukkan dirinya sedang sakit.

"Dua hari lalu, kami bertemu di studio dan sempat solat berjemaah bersama-sama. Secara tiba-tiba, arwah mohon maaf pada saya. Saya rasa tidak sedap hati memikirkan penyakit yang dideritai.

"Bukan dengan saya sahaja, malah arwah turut melakukan tindakan sama dengan rakan lain, seolah-olah tahu akan pergi buat selama-lamanya," katanya kepada BH Online.

Perkara lain membuatkan Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah semakin terasa apabila arwah sering meluahkan kebimbangan terhadap sesuatu perkara yang tidak sepatutnya difikirkan.

"Ketika ini, arwah sedang menyiapkan album untuk dua kumpulan yang bernaung di bawah label Luncai Emas. Arwah menyuarakan kebimbangan mengenai perkara ini kepada saya.

"Perkara ini sangat menghairankan kerana setahu saya, hal berkaitan muzik bukanlah sesuatu yang sukar buatnya. Saya yakin, ada perkara lain yang membuatkan arwah bersikap sedemikian hingga ada ketikanya arwah seperti sudah putus harap dengan kehidupannya," luahnya.

Sepanjang temubual berlangsung, nada suara komposer yang pernah menghasilkan lagu Di Pintu Syurga dan Bertakhta Di Hati ini cukup sebak, sesekali terpaksa menghentikan bicara kerana terlalu sedih dengan pemergian sahabat karibnya itu.

"Saya dapat tahu berita itu, malam tadi dan terus bergegas ke studio untuk melihat keadaan arwah. Saya lihat jenazah arwah cukup tenang dan tidak nampak langsung tandanya dalam kesakitan, walaupun saya tahu keadaan kesihatannya semakin merosot, sejak beberapa tahun ini.

"Hubungan kami rapat sejak Spider ditubuhkan. Kalau ada konsert jelajah, kami akan duduk sebilik. Kami bukan sahaja sahabat dalam kumpulan muzik, malah seperti saudara kandung sendiri. Dalam susah atau senang, kami tetap bersama.

"Justeru, apabila timbul khabar angin yang mengatakan kami berselisih faham hingga membuatkan arwah mengambil keputusan keluar daripada Spider, ia tidak benar sama sekali.

"Sebagai sahabat, arwah banyak menyokong kerjaya seni saya. Malah, arwah juga menggalakkan saya untuk terus mencipta lagu. Walaupun sedih dengan pemergiannya, namun saya tidak terkilan. Saya puas dapat bersahabat dengannya," kataya.

Menerusi laporan BH Online, berita pemergian Allahyarham disahkan Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar.

Keon turut memaklumkan punca kematian masih belum dapat dipastikan berikutan jenazah perlu menjalani bedah siasat.

Allahyarham Tony dan Tam adalah adalah anggota asal Spider, selain Nafie (pemain gitar) dan Aie (pemain gitar).

Namun, arwah Tony meninggalkan kumpulan yang popular dengan lagu Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Laukku Cukup Masin, posisinya pula digantikan Iss.

- Berita Harian 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!