About Me

Suratan takdir empat beradik


Pasir Gudang: "Anak saudara saya yang sulung sudah berusia tujuh tahun. Dia faham berkaitan kematian kerana sejak 2018, dia sudah kehilangan empat insan kesayangan termasuk ibu bapanya," kata Adhar Baharim, 47, di Taman Nusa Ramai di sini.

Adhar adalah bapa saudara kepada empat beradik yatim piatu iaitu Muhammad Zhafran, 7, Nur Izara Qaleesya, 6, Nur Inara Delisha, 3, dan Muhammad Zhafriel, 1, yang kehilangan ibu bapa, datuk dan nenek.

Menurutnya, bapa empat beradik itu yang juga adiknya, Mohd Jamil meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2019 iaitu ketika berusia 37 tahun.

"Ibu anak-anak ini, Nurul Wandiana Shakira Sapuan, 29, meninggal dunia pada 24 Jun lalu akibat jangkitan kuman di otak.

"Datuk dan nenek sebelah ibu mereka pula masing-masing meninggal pada 2018 dan 2020. Ini suratan takdir empat beradik ini pada usia yang masih belum mengenal erti kehidupan," katanya.

Adhar berkata, demi masa depan empat beradik itu, keluarganya mencapai keputusan untuk tidak memisahkan mereka mahupun ada permintaan mengambil mereka sebagai anak angkat.

Menurutnya, empat beradik itu sebelum ini tinggal di Taman Scientex, Pasir Gudang kini tinggal bersama keluarga adik perempuannya, Suzana Baharim, 41, di Nilai, Negeri Sembilan.

Katanya, adik perempuannya sudah berumah tangga dan memiliki empat cahaya mata.

"Adik perempuan arwah ibu mereka yang berusia 25 tahun turut menemani mereka di rumah Suzana bagi mengubati kerinduan terutama terhadap arwah Nurul Wandiana.

"Hampir setiap malam mereka teringat ibu mereka dan perlu dipujuk sebelum tidur.

"Kami sembilan beradik akan membantu menampung keperluan anak saudara daripada semasa ke semasa bagi memastikan mereka membesar dalam keadaan baik dan selesa," katanya.

Adhar berkata, keluarganya menafikan keadaan anak saudaranya terbiar dan tidak terurus seperti yang ditularkan di media sosial.

Menurutnya, dia dan keluarga memohon doa daripada orang ramai demi kesejahteraan, kesihatan anak saudaranya.

"Harapan kami adalah anak saudara kami membesar sebagai anak soleh dan memiliki masa depan cerah," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Adhar di talian 017-7408165.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!